RIDHUAN TEE
This website is meant as a forum to discuss issues related to politics & government, cross cultural & strategic studies, Islam & comparative religion and motivation.
Friday, January 15, 2010
Apa yang masih tinggal pada kita?
(Perhatian: Artikel ini tidak dapat disiarkan oleh akhbar pada 10 Januari 2010, disebabkan oleh beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. InsyaAllah, seperti biasa artikel seterusnya akan menyusul Ahad ini)
Saya terpanggil untuk menulis mengenai polemik kalimah Allah yang telah diputuskan oleh mahkamah yang berpihak kepada Kristian Katolik baru-baru ini. Penulisan yang menyokong keputusan mahkamah memenuhi setiap ruang laman-laman web ultra kiasu tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam. Begitulah wajah sebenarnya mereka yang selalu menuduh media lain tidak betul, siapakah sebenarnya yang betul? Kumpulan ini tidak pernah bersyukur, malah semakin berani menunjukkan belangnya.
Saya tidak menafikan hak agama lain untuk menggunakan kalimah Allah, sekurang-kurangnya kalimah ini menjadi sebutan mereka, manalah tahu suatu hari ini merekapun turut ikut bersunat. Namun, saya amat musykil, tetapi kenapa baru sekarang menjadi isu besar? Apakah tujuan di sebaliknya? Siapakah sasaran mereka? Sebagai umat Islam kita perlu memahami isu ini.
Bagi mereka yang tidak menyertai NGO, mungkin mereka tidak berapa nampak niat mereka yang sebenar. Tetapi bagi kami yang selalu berdamping dengan NGO, kami sudah masak dengan teknik dan taktik mereka ini. Mereka tidak akan berhenti untuk menuntut sehingga cita-cita mereka tercapai. Mereka akan menuntut semaksima mungkin, walaupun nampak seolah-olah tuntutan tersebut amat ekstrim. Mereka tahu, jika kerajaan tidak memenuhi kesemuanya, sekurang-kurangnya kerajaan akan memberi sebahagian. Sebahagian itu adalah kemenangan besar kepada mereka. Dengan sebab itu, kerja mereka hari ini ialah menuntut dan mendesak, apatah lagi ketika umat Islam dilanda perpecahan yang begitu melemahkan. Saya tidak fikir mereka sebegitu berani jika umat Islam bersatu. Sejarah menunjukkan bahawa apabila sesebuah bangsa itu kuat, biasanya ia akan digeruni.
Rakan-rakan facebook saya mengadu, ada kalangan orang Melayu Islam telah keluar daripada Islam dan menganut agama lain. Kumpulan ini begitu aktif menjalankan kerja dakwah mereka walaupun mereka tahu ia bertentangan dengan perlembagaan persekutuan. Hal yang sama pernah berlaku kepada Siti Hasnah Vengarama atau Banggarma Subramaniam baru-baru ini. Kita begitu hairan kenapa orang bukan Islam begitu berani ‘menikahkan’ Banggarma dengan lelaki bukan Islam yang ternyata bertentangan dengan perlembagaan dan salah di sisi undang-undang.
Walaupun Banggarma mengatakan bahawa dia sudah tidak Islam lagi, tetapi beliau masih tertakluk kepada undang-undang syariah, tidak kiralah sama ada dia beramal dengan Islam ataupun tidak. Mereka yang bertanggungjawab menikahkan beliau, sepatutnya merujuk kepada pihak berkuasa agama, sebagai tanda penghormatan ke atas agama Islam. Ironinya, sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa agama Islam. Tidakkah ini dinamakan toleransi?
Saya masih ingat, apabila isu ini disensasikan, belum apa-apa lagi kita lihat reaksi Majlis Perundingan Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) menggesa Mahkamah Syariah membenarkan Banggarma menganut agama Hindu dan sekali gus meninggalkan Islam, tanpa perlu melalui proses biasa di mahkamah. Paderi Kristian selaku presiden MCCBCHST berpendapat, murtad itu sah kerana menganut agama Islam pada masa kecil sahaja dan tidak pernah mengamalkan ajaran Islam. Paderi tersebut mendesak agar memberikannya kebebasan memilih agama kerana ia berumur lebih 21 tahun. Mahkamah Syariah dikatakan tidak layak kerana tidak mempunyai bidang kuasa ke atas ‘mereka yang tidak mengamalkan agama Islam’.
Persoalan saya, siapakah paderi tersebut untuk mengatakan sama ada Mahkamah Syariah layak atau tidak mengadili kes ini. Janganlah bertindak seperti hakim. Kita harus bersifat professional dan bukan beremosi serta bersentimen. Hormatilah kedudukan Islam selaku agama persekutuan. Ini tidak, belumpun perkara ini dibawa ke mahkamah, mereka sudah menjadi hakim. Saya amat bimbang jika wujud hakim seperti ini dalam mahkamah.
Berbalik kepada kes kalimah Allah ini, semua badan NGO bukan Islam bersatu hati mahukan kita menghormati keputusan mahkamah. Ironinya, bila keputusan menyebelahi bukan Islam, kita disuruh menghormati mahkamah dan keputusan itu adalah keputusan yang adil, tetapi bila keputusan menyebelahi orang Islam, kita kata mahkamah berat sebelah dan telah dipengaruhi tangan-tangan tertentu. Adakah tindakan ini wajar? Kenapa kita tidak bertindak secara profesional?
Apa jua alasan kita mengenai isu penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam, mudarat dan sakitnya lebih dirasai oleh umat Islam. Sepanjang pengamatan saya, di negara-negara barat majoriti Kristian, kalimah Allah tidak pernah digunakan sama sekali, sama ada digereja-gereja mahupun percakapan harian. Malah dalam filem-filem merekapun, saya tidak pernah menonton atau mendengar kalimah Allah digunakan.
Tidak dinafikan bahawa kalimah Allah telah digunakan di Indonesia dan beberapa negara Arab yang lain. Begitu juga di Sabah dan Sarawak. Persoalannya, adakah ia bermakna negeri lain perlu terikut sama?
Saya cukup hairan kenapa kita harus melayan tuntutan Kristian di Semenanjung yang hanya berjumlah kurang dari 9 peratus, berbanding dengan agama lain yang lebih dari itu. Seperti yang saya sebut sebelum ini, walaupun mereka sedikit, publisiti mereka sehingga menenggelamkan agama yang lain. Sedangkan kita tahu dari segi hak, mereka yang beragama Buddha, Konfucius dan Taoisme mempunyai lebih sedikit hak, sebab mereka ada 22 peratus.
Pada saya, apapun hujah untuk membenarkan Kristian menggunakan nama Allah, perlu ada pertimbangan antara mudarat dan sensitiviti umat Islam serta kesesuaiannya dengan perlembagaan negara kita. Bukanlah bermakna kita takut dengan dakyah Kristian, tetapi berpada-padalah dengan kedudukan mereka yang hanya 9 peratus. Kementerian Dalam Negeri dan Majlis agama Islam negeri mesti bertindak tegas ke atas mereka tanpa kompromi jika adalah risalah yang cuba untuk mengelirukan umat Islam. Perkara ini amat penting bagi menghindarkan mudarat lebih besar yang boleh menimpa orang awam Islam yang agak lemah dan mengelakkan konflik.
Justifikasi beberapa cendekiawan dan pertubuhan Islam yang tidak melarang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah bagi Tuhan mereka, agak berat juga untuk diterima. Alasan mereka, “umat Islam tidak perlu berebut nama Allah dengan penganut Katolik. Mereka berhak menamakan Tuhan mereka dengan nama Allah kerana dalam al-Quran pun kaum Musyrikin menggunakan nama Allah”. Benarkah begitu? Mereka seolah-olah mendakwa Allah ‘membenarkan’ namaNYA digunakan oleh bukan Islam bagi merujuk kepada Tuhan Bapa, Jesus, dan segala sembahan yang bathil dan syirik itu.
Selaku bekas penganut Kristian bersama-sama beberapa rakan lain, kami tahu benar bagaimana orang Kristian bekerja. Cuma, saya ingin mengingatkan umat Islam supaya lebih berwaspada dan berhati-hati. Kalimah Allah ini merupakan salah satu tuntutan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) suatu ketika dahulu. Walaupun IFC belum berjaya ditubuhkan, mereka berselindung di bawah MCCBCHST. Boleh dikatakan hampir kesemua 14 tuntutan yang mereka kemukakan telah berjaya dipenuhi. Tuntutan ini ternyata menggugat kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.
Antara tuntutan mereka adalah, pertama: seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam. Kedua, orang bukan Islam yang telah memeluk Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang. Ketiga, sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil. Keempat, tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam. Kelima, orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang. Keenam, seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.
Ketujuh, orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya. Kelapan, kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid. Kesembilan, orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya. Kesepuluh, bibel dalam bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.
Kesebelas, pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah. Keduabelas, program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing, dan ketigabelas: orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang bukan Islam dan akhirnya, sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.
Persoalan saya, hampir kesemua tuntutan telah tercapai, tidak cukupkah lagi toleransi yang telah ditunjukkan oleh kepimpinan umat Islam hari ini? Pada saya, kita sudah terlebih memberi, atas dasar demokrasi dan takut kepada ugutan mereka. Inilah kelemahan kita yang menyebabkan orang lain berani memijak kepala.
Toleransi umat Islam telah sampai ke tahap yang cukup tinggi. Seingat saya, umat Islam tidak pernah atau amat jarang campurtangan dalam hal ehwal agama bukan Islam. Apatah lagi untuk mengganggu-gugat istilah agama mereka seperti Pope, Paderi (priest), Sami (Monk) dan sebagainya. Ini disebabkan oleh prinsip kita yang menghormati agama lain.
Justeru, adakah salah kita ingin mempertahankan sedikit yang masih ada? Jika sedikit ini terus mahu diambil dan dikongsi, apakah yang masih tinggal pada umat Islam di buminya sendiri? Justeru, tindakan kerajaan melarang penggunaan nama Allah dalam surat khabar Herald adalah tindakan tepat dan positif yang bermakna bagi umat Islam. Ia perlu disokong oleh semua umat Islam tanpa berbelah bahagi. Pada masa sama janganlah bertindak di luar batasan agama seperti membakar gereja, itu sudah ekstrim namanya. Jika berlaku peperangan sekalipun, Islam tidak membenarkan kita meroboh atau memusnahkan rumah ibadat mereka. Begitulah indahnya Islam. Pun begitu, kita masih belum tahu siapakah sebenarnya yang membakar gereja? Mungkin orang Islam? Mungkin tidak? Atau mungkin juga orang bukan Islam yang mahu menangguh di air yang keruh? Pokoknya, jangan mudah menuding jari dengan mengatakan orang Islam yang buat.
Apa yang berlaku pada hari ini ialah kita hanya mempertahankan kalimah Allah untuk tidak digunakan sewenang-wenangnya. Syarat-syarat ketat hendaklah dikenakan sekiranya kalimah ini ingin digunakan. Kuasa yang ada dalam perlembagaan hendaklah digunakan sepenuhnya untuk mempertahankan dan menyelamatkan maruah agama tercinta ini. Saya dengan penuh takzim menyembah ke bawah duli Tuanku, Majlis Raja-Raja Melayu untuk campurtangan menyelamatkan kesucian Islam daripada dicemari oleh tangan-tangan yang cuba mengotori kesucian ad-deen ini. Ambillah pengajaran yang berlaku ini untuk kita bangkit kembali menjadi aktif serta proaktif, dan bukannya action-oriented. Bila sudah berlaku barulah kelam-kabut. Tidakkah kita perlu sentiasa bersedia dan beristiqamah mempertahankan maruah agama mulia ini dan bukannya bermusim? Semoga Islam akan terus menyinar dan bersinar.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
Posted by RIDHUAN TEE at 7:51 AM
Sunday, January 03, 2010
Kiasi lebih baik daripada ultra kiasu
Mingguan Malaysia, 3 Januari 2010
Saya berterima kasih kepada sebuah laman web ultra kiasu, anti Melayu dan anti-Islam, Malaysian Insider kerana sudi mengulas dan menyiarkan artikel saya dalam laman mereka. Kasihan mereka, artikel dan komen-komen yang baik-baik yang menyokong saya, ditapis dan tidak disiarkan, manakala yang buruk dan negatif diperbesarkan. Ultra kiasu sungguh laman web ini. Minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pantau. Mereka sengaja melakukan demikian supaya saya dihentam dan dikritik, termasuk kalangan orang Melayu sendiri yang saya fikir tidak ramai, supaya saya menyerah kalah atau mematikan watak (character assassination). Itulah hakikat yang saya kena terima. Sekutu-sekutu ultra kiasu begitu ramai, menjadi musuh dalam selimut bertindak pepat di luar rencong di dalam. Seperti biasa mereka turut mengaitkan saya sebagai penulis upahan dan tali barut UMNO.
Terus terang, tidak ada sesiapa yang memaksa saya menulis. Ia datang daripada hati nurani seorang Islam yang mahukan Islam kembali bertapak dan menjadi kuat di buminya sendiri. Kepada laman web berkenaan, satu nasihat saya, berhujah dengan baik secara intelektual. Elakkan kata-kata lucah dan kesat. Bila saya menulis, etika dan moral saya cukup jaga, tidak sesekali menyerang peribadi seseorang. Bukan seperti laman web tersebut bertindak memanipulasikan isu dan serta membuat provokasi. Saya tidak terganggu sedikitpun dengan komen-komen ultra kiasu tersebut, malah menjadikan saya menjadi semakin kuat menulis dan bersyukur tinggal di bumi bertuah ini.
Kepada mereka yang ultra kiasu, kenapa seperti cacing kepanasan? Ramai penulis Melayu yang menulis dan mengutuk Melayu dan Islam, tetapi orang Melayu Islam ini relaks sahaja. Tidak mudah melatah, tidak maki hamun sampai satu keturunan. Inilah sifat yang amat saya puji. Malangnya, bila saya sentuh sedikit sahaja tentang segelintir bangsa saya yang bersifat ultra kiasu, Malaysia semacam sudah tidak ada isu lain, seluruh golongan ultra kiasu bersatu hati bangun mengutuk, menghina dan mencerca saya satu keturunan. Inilah bezanya antara orang Melayu Islam dengan bangsa saya. Justeru, janganlah hairan sangat jika saya tampil membela dan menyedarkan Melayu Islam sebelum terlambat. Saya bukan Tuhan untuk mengubah orang Melayu, bukan bertindak lebih Melayu dari Melayu, tetapi hanya sekadar menjalan kewajipan sebagai seorang Islam, mudah-mudahan kita kembali kuat. Bayangkan jika golongan ultra kiasu inilah yang memerintah, apakah akan terjadi kepada agama dan anak bangsa kita di bumi mulia ini?
Saya fikir sifat orang Melayu yang terlalu bertolak-ansur ini disebabkan oleh mereka beragama Islam. Inilah juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan saya memeluk Islam dengan izin Allah. Jika ditakdirkan Melayu tidak Islam, saya akan biarkan mereka terjun dengan labu-labunya. Agama menyatukan kita semua tidak kira bangsa, tanpa menafikan hak bukan Islam. Namun, saya masih bimbang, adakah terlalu bertolak ansur selama-lamanya boleh diamalkan sehingga kaduk naik junjung? Apakah benar kata-kata Melayu mudah lupa sehingga menjadikan orang lain sentiasa ingat? Maka kesempatan mudah lupa ini diambil oleh kumpulan ultra kiasu untuk memijak kepala orang lain.
Tengoklah cara ultra kiasu ini berfikir, bila ada sahaja penulisan yang menyebelahi Melayu Islam maka saya dikaitkan dengan UMNO. Apakah selama UMNO memimpin negara ini kehidupan ultra kiasu menderita dan ditindas? Apakah kekayaan yang dimiliki bukan Melayu melebihi 70 peratus adalah hasil usaha sendiri, bukan disebabkan oleh sistem hidup bernegara yang diterajui oleh orang Islam yang menjadi orang bukan Islam dapat hidup senang lenang? Jika orang Melayu Islam itu semuanya buruk, sudah tentu orang bukan Islam merempat di bumi ini? Kenapa tidak bersyukur dengan kebaikan yang kita rasai. Adakah formula yang saya kemukakan itu berjalan?
Baik sangatkah mereka yang memerintah Selangor dan Pulau Pinang? Saya lihat sama sahaja. Kalau di Majlis Perbandaran, lihatlah wajah-wajah dan betapa rakusnya mereka merebut projek perbandaran. Dahulu, kata UMNO kroni, bila mereka memerintah adakah ia bukan kroni? Dua kali lima, sama sahaja. Apakah enjin jet tidak akan hilang jika Pakatan ultra kiasu memerintah? Apakah semua exco pakatan ultra kiasu semuanya bersih dari segi peribadi akhlaknya dan pentadbiran negerinya?
Saya tidak mengatakan bahawa UMNO itu semua betul. UMNO juga mesti berubah dari aspek peribadi akhlak pemimpin dan pengurusan bernegara, jika ingin terus relevan bagi mendapatkan keyakinan rakyat. Jangan sampai kumpulan ultra kiasu berjaya memerintah. Bila ultra kiasu dapat peluang memerintah nanti, kita akan menyesal seumur hidup. Ketika itu, tidak ada gunanya menangis walau air mata darah sekalipun keluar.
Ingatlah, puak ultra kiasu ini amat licik orangnya. Sengaja membutakan hati dan mata. Saya berani melabelkan seseorang kerana saya buat kajian berkaitan persepsi Cina terhadap politik Melayu, dalam tesis kedoktoran saya. Istilah ultra kiasu, sederhana kiasu dan kurang kiasu adalah skala kajian saya. Mereka yang menyalak itu pernahkah buat kajian? Saya bukanlah seorang ulamak sebagaimana yang disebut, bidang pengajian saya berkaitan politik dan kerajaan. Tetapi itu bukan bermakna saya perlu membiarkan diri saya jahil tanpa mengkaji Islam!
Saya diminta kemukakan fakta ketika menulis. Apakah yang saya lontarkan itu bukan fakta? Lagipun saya bukan menulis jurnal.Tidak perlulah mengajar saya siapakah dia John Lockes dan Thomas Hobbes bila bercakap tentang kontrak sosial. Baca juga pendapat Rousseau untuk memahami makna kontrak sosial yang sebenar. Janganlah petik kata-kata yang tidak menyebelahi diri untuk diaplikasikan agar kita nampak pandai, tetapi sebenarnya tidak.
Saya tidak begitu berminat untuk memetik kata-kata sarjana barat ini walaupun saya banyak membaca buku mereka. Saya lebih tertarik dengan pendapat orang Islam, sebab pendapat orang Islam berpandukan kepada Quran dan hadis. Tidak mudah untuk diperalatkan. Jangan biarkan diri kita jahil. Malaysianinsider dan ultra kiasu amat suka orang-orang jahil ini supaya akhirnya mereka boleh menjadi pengikut santa claus.
Janganlah mudah berkata di hati mereka ada ‘bulan’. Jika memang di hatinya ada bulan, sudah lama mereka turut mengharamkan arak, zina, nombor ekor dan sebagainya. Tetapi mereka ini licik, menyamar untuk mengikuti jejak Umar Abdul Aziz untuk mencairkan jiwa raga kita. Bila telah ‘cair’ mudahlah santa claus masuk. Takkan cepat sangat lupa isu arak dan tuduhan terhadap Jamaah Islam Malaysia (JIM) sebagai ekstrimis. Janganlah kerana politik, kepentingan Islam dan umatnya diabaikan.
Mereka begitu marah dengan formula yang saya kemukakan iaitu berasaskan peratusan kaum (agama), 60% Islam, 40% bukan Melayu (22% Buddha-Toaisme-Konfucius, 9% Kristian, 6% Hindu, 3% lain-lain) dan kaitan dengan perayaan dan aktiviti keagamaan. Saya telah sebut, atas dasar toleransi maka formula ini tidak pernah dilaksanakan. Persoalannya, adakah hak mereka dinafikan selama ini sebagaimana yang digembar-gemburkan laman web ultra kiasu tersebut? Jika laman web tersebut boleh menulis apa yang mereka suka, apakah saya tidak boleh? Apakah berita-berita mereka tidak perkauman? Jangan terlalu jahat dengan menuduh orang lain penjahat?
Jika tidak setuju dengan formula saya, bagilah formula ultra kiasu. Tetapi asasnya mestilah perlembagaan, bukannya Malaysian Malaysia. Kalau Malaysian Malaysialah formulanya, eloklah berbincang dengan Lee Kuan Yew untuk berhijrah ke sana. Bukalah laman web baru di sana, dan cuba kutuk kerajaan Singapura, saya fikir sudah lama laman web tersebut dibuang jauh-jauh, apatah lagi untuk membuka sekolah sendiri.
Teringat saya kepada buku terbaharu karangan SP Huntington bertajuk Who are we . Beliau mengatakan Amerika sejak awal lagi mengambil pendekatan mengasimilasikan semua bangsa yang datang berhijrah demi untuk mencapai perpaduan. Berdasarkan pendapat Huntington ini, tidak timbul soal Amerika itu lebih terbuka sebagaimana yang didakwa oleh kumpulan ultra kiasu ini. Kenapa mereka boleh menerima Barack H. Obama menjadi presiden Amerika? Jawapan amat mudah, sebab Obama lebih orang putih daripada orang putih walupun kulitnya hitam. Kenapa hari ini kita mempunyai menghadapi masalah? Kerana kita terpaksa berhadapan dengan ultra kiasu yang langsung tidak mahu boleh disentuh. Hidupnya tidak beza dengan tempat asalnya.
Cubalah bertanya dan kaji, kenapa orang Siam dapat menerima bukan Siam (Cina) sebagai Perdana Menteri seperti Chuan Lekpai dan Taksin Sinawatra. Situasinya sama seperti Obama. Adakah situasi kita sama? Jangan buat gimik. Tok Guru tidak perlu pinda perlembagaan negeri Kelantan untuk melantik bukan Melayu Islam menjadi menteri besar. Ini kerana bukan Melayu di sana amat sedikit bilangan. Jagalah dan tarbiyyahlah dulu saudara-saudara baru yang masih merempat di sana, itu lebih banyak manfaat daripada membuat tindakan politik terburu-buru.
Saya kira dosa saya membangkitkan isu ultra kiasu tidaklah seteruk isu ketika namawee menghina lagu negaraku dan mengeji negara kita serta video klip beliau terbaharu beliau yang menggunakan kata-kata kesat dan lucah. Kenapa puak ultra kiasu ini tidak mengutuk tindakan beliau, malah ramai yang menyokong lagi? Kenapa bila bangkitkan perkara ini begitu beremosi? Bukankah itu ultra kiasu namanya. Saya mempunyai hak untuk bersuara dalam sebuah negara demokrasi. Jika tidak bersetuju berhujahlah dengan cara berhemah dan bertamadun.
Saya tidak pernah menafikan hak orang bukan Islam selaku minoriti di negara ini. Jika nafikan, bermakna, saya nafikan juga keturunan saya. Cuma biarlah berpada-pada, hargai toleransi yang telah ditunjukkan. Jangan asyik berkokok, ekor bergelumang tahi. Orang Melayu terlalu bertoleransi, sehingga hak mereka semakin terhakis pun mereka tidak banyak bising. Itu sebabnya saya perlu sedarkan mereka. Saya bimbang bila Melayu hancur, agama Islam yang suci akan turut hancur. Saya tidak pertikaikan hak mereka, tetapi jangan sampai menenggelamkan hak majoriti Islam.
Saya menulis bukan untuk mengambil hati sesiapa atau pun mahu menjadi popular. Kalau sekadar untuk popular, saya sudah popular sejak dahulu lagi. Cuma saya terpaksa tulis sebab kaduk telah naik junjung. Saya bimbang segelintir ultra kiasu ini akan merosakkan semua bukan Melayu yang kurang ultra kiasu. Mereka yang kurang kiasu patut dihargai dan dilindungi berbanding dengan ultra kiasu. Ultra kiasu perlu ingat, apapun yang berlaku hari ini, orang Melayu hanya rugi untuk jangka pendek. Dalam jangka masa panjang, saya tidak fikir mereka akan rugi. Bilangan orang Melayu semakin ramai berdasarkan kepada trend kelahiran, begitu juga dengan mereka yang menyertai pasukan keselamatan seperti tentera dan polis. Apapun berlaku nanti, pasukan keselamatanlah yang akan mengambil tanggungjawab negara ini. Jika ini berlaku, siapakah yang rugi? Sudah tentu bukan Melayu yang kurang kiasu akan rugi. Kumpulan ultra kiasu sudah tentu akan cabut lari.
Kadangkala menitis air mata mengenangkan masa depan Islam dan umat Islam. Bukan kerana kiasi (takut mati), tetapi memikirkan masa depan anak cucu cicit kita. Apakah mereka mewarisi perjuangan kita untuk mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara? Apakah mereka akan menjadi cair dengan strategi licik golongan ultra kiasu dan sekutunya? Jika inilah yang berlaku, amat malang bagi Malaysia, sebuah negara bermula dengan Tanah Melayu. Cukuplah dengan apa yang telah berlaku. Jangan ulangi kesilapan yang sama. Jika kita silap lagi, saya amat bimbang kita tidak dapat berpatah balik. Ingatlah, kadangkala Allah beri kita peluang, kadang kala tidak. Islam tidak akan bangkit selagi umat Islam tidak ubah pemikirannya.
Lihatlah bagaimana cara Rasulullah melayan mereka sebelum Islam dengan selepas memasuki Islam. Ingatlah ayat Quran ini tanpa menafikan hak orang bukan Islam. "Hai orang yang beriman, siapa saja diantara kamu yang murtad dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang mencintai-Nya, dan mereka pun cinta pada-Nya, mereka bersifat lemah lembut terhadap kaum muslimin, dan tegas keras terhadap orang kafir, selalu berjuang untuk menegakkan agama Allah dan tidak menghiraukan celaan orang yang mencela. Itulah kurniaan Allah yang diberikan kepada siapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Luas pemberianNya dan Maha Mengetahui"[Al maidah, ayat 54]
Ayat ini menyuruh kita berlembut dengan orang Islam. Ia juga menyuruh kita bertegas dan bersikap keras terhadap orang kafir yang ultra kiasu. Bukannya kita boleh pukul rata dengan sikap berlembut kita terhadap orang bukan Islam. Kajilah sama ada mereka ultra, sederhana atau kurang kiasu. Apatah lagi jika mereka banyak melakukan kerosakan di muka bumi ini seperti kafir harbi. Perlukah kita berkompromi dengan mereka?
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
Sunday, December 27, 2009
Tuduhan penjahat lebih baik dari berjahat
Mingguan Malaysia 27 Disember 2009
Sejak kebelakangan ini Utusan Malaysia menjadi mangsa kritikan dan kutukan dari dalam dan luar terutama parti ultra kiasu. Utusan dituduhkan akhbar yang mengapi-apikan sentimen perkauman yang boleh menggugat keharmonian kaum. Lebih ekstrim lagi, akhbar ini dilabelkan sebagai penjahat. Jika akhbar itu penjahat bermakna wartawan, kolumnis dan juga penulis akhbar ini juga penjahat. Persoalan saya, apakah akhbar tabloid parti ultra kiasu dan parti-parti politik perkauman lain dan mereka yang bersekongkol tidak jahat? Parti ultra kiasu dan kuncu-kuncunya bukan sahaja jahat, tetapi terang dan nyata lagi berniat jahat dengan menolak kontrak sosial dan perlembagaan persekutuan serta mencabar perkara-perkara sensitif yang telah dipersetujui bersama sekian lama. Rakan sekutu parti ultra kiasu langsung tidak berani bersuara kerana takut hilang sokongan. Inilah strategi licik ultra kiasu dan sekutunya berselindung di bawah gagasan 1Malaysia untuk mencari laba dan keuntungan politik.
Bila mereka tidak dapat apa yang dihajatkan maka gagasan 1Malaysia akan dijadikan hujah mendapatkan simpati. Rakan-rakan perkauman mereka dalam komponen Barisan Nasional (BN) sebenarnya mempunyai pendirian yang sama. Mereka pandai berstrategi. Ultra kiasu menyalak di luar, di dalam rakan-rakan mereka menjalankan kerja. Mereka sebenarnya senada. Cuma kita masih terlepas pandang.
Saya tidaklah menyatakan bahawa Utusan Malaysia semuanya baik. Tidak ada sesuatu yang sempurna di dunia, kecuali Allah SWT dan RasulNya. Sebagai manusia, masih ada perkara-perkara yang perlu diperbaiki dari masa ke semasa. Ingatan saya kepada ultra kiasu, janganlah gajah depan mata tidak nampak, kuman seberang laut jelas kelihatan. Berpada-padalah dalam memberikan pandangan. Jangan asyik nampak kesalahan orang lain, tanpa muhasabah diri. Apakah bersedudukan tanpa nikah itu tidak jahat? Apakah mengekalkan exco yang ternyata melakukan kejahatan itu tidak jahat? Sekurang-kurangnya Utusan Malaysia berterus-terang, bermakna tidaklah terlalu jahat, daripada berselindung melakukan kejahatan, di depan orang pijak semut tak mati, tetapi di belakang bukan main lagi, seolah-olah hidup ini tidak akan mati. Inilah tindak-tanduk mereka untuk mengaburi mata rakyat. Kalau kita intip pergerakan mereka, saya yakin kita akan berjumpa dengan manusia yang sejahat ini, termasuk salah seorang exco yang membawa santa claus berjumpa pemimpin negeri mereka baru-baru ini. Kepada pemimpin tersebut, kalau suka sangat raikan santa claus, jangan sampai terlebih meraikan pulak. Sebagai umat Islam, kita diajar menghormati agama lain, tetapi elok berpada-pada. Mereka ini licik perancangannya. Ramai orang Melayu sudah tersasar kerana terlalu dekat dengan santa claus.
Tidak dapat dinafikan bahawa sejarah semua akhbar di negara ini memang dari awalnya bersifat perkauman. Begitu juga dalam bidang-bidang yang lain seperti politik, ekonomi dan sosial, semuanya perkauman. Pada saya, sayangkan bangsa atau kaum ini tidak salah, malah dibolehkan dalam Islam seperti yang dibahaskan oleh Ibnu Khaldun. Cuma yang tidak dibenarkan adalah apabila ia sampai ke tahap ultra, seperti mana parti ultra kiasu ini. Mereka kerap membangkitkan isu-isu sensitif sehingga menimbulkan ketegangan. Keadaan ini lagi merbahaya, sebab ia boleh mencetuskan huru-hara sepertimana yang berlaku dalam peristiwa 13 Mei 1969.
Dalam memahami politik Malaysia, isu-isu perkauman dibangkitkan untuk mendapatkan sokongan politik dan pada masa untuk menyedarkan kaum masing-masing agar mereka sedar siapa mereka yang sebenar dan apa yang sepatutnya diperolehi. Manakala isu-isu sensitif dibangkitkan untuk mendapatkan hak sama rata dan sama rasa bagi kumpulan ultra kiasu. Mereka tahu perkara ini tidak boleh dibangkitkan secara terbuka kerana ia boleh dikenakan tindakan di bawah akta hasutan. Mereka sengaja mahu menguji UMNO yang ketika ini berada dalam keadaan agak tertekan disebabkan tidak mendapat majoriti dua pertiga dalam parlimen dan perpecahan Melayu Islam yang amat menyakitkan.
Misalnya, gerakan ultra kiasu mahu menyamaratakan agama Islam sebagai agama persekutuan dengan agama lain. Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti tahu bahawa konsep sama rata dan sama rasa tidak menepati kehendak perlembagaan persekutuan, walaupun konsep Malaysian Malaysia yang selalu dilaung dan didesak oleh parti ultra kiasu. Ingat, agama Islam agama majoriti masyarakat negara ini. Kedudukan Islam begitu istimewa dalam perlembagaan. Jika ada ‘kelebihan’ pada agama Islam, ia bukanlah satu diskriminasi kerana selaku majoriti, Melayu Islam berhak, apatah lagi ia telah dipersetujui melalui kontrak sosial. Tidak perlu dipertikaikan atau dituduh tidak adil. Termasuk menggunakan dana-dana kerajaan untuk mengembangkan syiar Islam. Malangnya, perkara-perkara ini tidak pernah diformulakan. Akhirnya, setiap kaum atau parti menginterpretasikan mengikut kepentingan masing-masing mengikut latar belakang bangsa dan agamanya. Tidak ketinggalan perancangan jahat mereka.
Untuk mengelakkan daripada parti ultra kiasu ini menjadi bertambah jahat, setidak-tidaknya kita mesti menggariskan formula bagi menyelesaikan kejahatan ini. Formula saya adalah berasaskan kepada pecahan statistik agama dan bangsa di negara ini. Mengikut bancian tahun 2000, anutan agama rakyat Malaysia adalah seperti berikut 60.4% Islam, 40% bukan Melayu (22% Buddha-Toaisme-Konfucius, 9% Kristian, 6% Hindu, 3% lain-lain). Formula ini boleh diaplikasikan dalam konteks kehidupan bernegara termasuk hak-hak beragama dan sambutan perayaan setiap kaum, bagi mendapatkan keadilan. Formula ini menepati sebahagian maksud keadilan dalam Islam yang membawa maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya walaupun tidak sepenuhnya.
Atas dasar toleransi, formula ini boleh dikatakan langsung tidak diterima pakai, sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial. Misalnya, bilangan rumah ibadat bukan Islam melimpah ruah, perayaan mereka menenggelamkan perayaan orang Islam walaupun bilangan mereka sedikit. Lihat sahaja gedung-gedung membeli belah, walaupun Kristian hanya 9%, sambutan Krismas dan Tahun Baru 2010 menenggelamkan perayaan utama seperti hari raya dan tahun baru Islam. Kalau tidak percaya, lawatilah negeri-negeri yang diperintah ultra kiasu dan sekutunya serta gedung-gedung membeli belah sekutu mereka di seluruh negara.
Saya fikir, umat Islam di negara ini amat berlembut dan bertoleransi tinggi. Upacara perayaan keagamaan dan kematian begitu beradab serta mudah. Jalan raya tidak sesak. Kuburnya begitu kecil. Berbanding agama lain, sudahlah bilangannya kecil, kadangkala sehari suntuk jalan raya sesak ketika perayaan tertentu. Kubur-kuburnya begitu luas dan besar. Sampai bilakah amalan ini boleh diteruskan, di kala penduduk semakin ramai, tanah semakin terhad? Setakat ini orang Islam tidaklah bising sangat berbanding orang lain, walaupun kubur mereka semakin terhimpit dan protes daripada bukan Islam yang semakin berani apabila ada tambahan tanah perkuburan Islam.
Formula yang saya sebutkan perlu dijadikan panduan. Adakah adil bila mana bilangan orang bukan Islam tidak ramai, tetapi kubur mereka menenggelamkan kubur orang Islam. Pernahkah kita bertanya pandangan orang Islam dan sensitiviti mereka? Mereka yang mempunyai wang akan membina kubur setinggi-tinggi dan seluas-luas serta secantik-cantik kubur dengan patung-patungnya yang didirikan saujana mata memandang. Sedangkan kubur orang Islam, apa jua kedudukannya, kuburnya amat sederhana kerana Islam tidak percaya kepada rekabentuk kubur. Tiada kuburpun tidak ada masalah. Apa yang penting ialah iman dan takwa yang dibawa ke alam kubur atau barzakh. Pernahkah umat Islam menuntut sama rasa sama rata? Tidak, kerana mereka tidak ultra kiasu.
Contoh lain, seorang profesor Kristian di tempat kerja saya berhujah dengan saya baru-baru ini. Katanya, hak beragama mesti berasaskan formula sama rata sama rasa. Antara contoh yang diketengahkan ialah jika ada kelas baca yasin dan solat jumaat untuk pelajar-pelajar Islam, maka pelajar Kristian mesti diberikan hak yang sama untuk mempelajari agama mereka dan membawa paderi masuk. Saya katakan kepada beliau, bacalah kitab masing-masing ketika itu, lagipun bacaan yasin dan solat jumaat bukanlah ‘kelas agama’ ia adalah tanggungjawab individu Islam. Kalau ada kelas agamapun untuk orang Islam, tidak semesti orang bukan Islam sama keadaannya. Tambahan pula, bilangan pelajar Kristian atau bukan Islam amat sedikit bilangannya, cukup dengan kemudahan yang telah disediakan selama ini. Profesor ultra kiasu ini dengan nada beremosi mengatakan itulah adalah hak mereka yang mesti ditunaikan. Saya jawab, apakah hak mereka selama ini tidak ditunaikan? Apakah bilangan gereja dan rumah ibadat yang berlambakan sehingga menenggelam bilangan masjid surau itu bukan hak? Apakah kita pernah menghalang mereka untuk ke gereja setiap hari ahad? Jangan bandingkan dengan umat Islam kerana cara ibadat kita berbeza. Keperluan kita berbeza. Begitu juga dengan keperluan sembahyang jamaah. Justeru, konsep sama rata dan sama rasa hendaklah berasaskan formula yang telah digariskan dalam perlembagaan dan pecahan kaum (agama).
Selama inipun mereka tidak pernah menggunakan kalimah Allah di negara kita, kenapa secara tiba-tiba kalimah Allah hendak digunakan? Tidak lain dan tidak bukan adalah strategi jahat mereka untuk mengelirukan umat Islam supaya mengikut agama mereka. Ingatan saya kepada ibu bapa, jagalah anak-anak kita, jangan sampai terpedaya dengan strategi jahat dan berjahat ini. Malangnnya inilah perkara yang telah dan akan berlaku di Selangor dan Pulau Pinang sekiranya kita biarkan ultra kiasu ini berkuasa dan bermaharajalela. Lihat Pulau Pinang hari ini seolah-olah bukan pulau Melayu lagi. Semuanya penuh dengan santa claus dan ucapan tahun baru, sedangkan mereka hanya ada 9 peratus.
Justeru marilah kita melakukan perubahan sebelum terlambat. Jangan akhirnya nanti agama kita merempat di bumi sendiri. Ketika itu sudah terlambat. Jangan biarkan kaduk naik junjung. Bila mereka sudah naik, mereka akan bertapak, selepas itu adalah terlalu sukar untuk mereka turun.
Lihat pula dalam toleransi politik. Terbaru, Gerakan begitu marah sekali dengan cadangan UMNO agar kerusi pengerusi BN digilirkan di Pulau Pinang kerana UMNO mempunyai kerusi majoriti. Belum apa-apa lagi kuncu-kuncu ultra kiasu sudah melompat. Sepatutnya bincanglah dahulu. Pengerusi Gerakan dan BN Pulau Pinang berkata, kerusi pengerusi BN telah disandang selama 35 tahun. Kenapa perlu diserahkan kepada orang lain?
Persoalan saya, jika UMNO boleh korbankan kerusi parlimen Grik, kenapa tidak Gerakan? Siapakah yang lebih bertoleransi dan bersifat memberi? Ultra kiasu sungguh parti-parti politik berpusat di pulau ini. Dengan sebab itulah, mereka tidak kisah sangat siapa yang memerintah pulau, asal orang sendiri. Tidak banyak strategi dibuat untuk mengambil balik pulau tersebut. Itulah sebabnya saya dapat merasakan UMNO tidak selesa keadaan ini.
Saya masih teringat, setelah sekian lama UMNO bertanding di parlimen Grik, kawasan majoriti Melayu, tiba-tiba kerusi itu diserahkan kepada Gerakan. Bekas Menteri Besar Perak ketika itu menangis untuk melepaskan kerusi tersebut. Tetapi disebabkan oleh semangat setiakawan dan kerjasama dalam BN, UMNO terpaksa tunduk dan patuh dengan menyerahkan kerusi Grik kepada Gerakan. Majoriti Melayu terpaksa mengundi bukan Melayu (Gerakan) walaupun pahit. Inilah sifat mulia Melayu Islam. Adakah toleransi ini dihargai? Ibarat anjing menggigit tuannya, masihkah kita ingat bahawa ahli parlimen Grik Gerakan inilah yang mengeluarkan kenyataan bahawa Melayu itu juga adalah pendatang? Ahli parlimen ini jugalah yang dilantik sebagai timbalan menteri. Pernahkah kita dengar UMNO berkata, sekian lama kita memegang kerusi parlimen Grik, kenapa kita perlu serahkannya kepada Gerakan, seperti nada yang diucapkan oleh pengerusi BN Pulau Pinang itu?
Kenapa Gerakan terlalu kuat menentang? Mereka takut selepas ini kerusi Ketua Menteri akan terlepas kepada UMNO jika ditakdirkan BN memerintah semula. Pokok pangkalnya semua kuasa, kuasa, kuasa dan sikap ultra kiasu. Semua meletakkan kepentingan bangsa di hadapan bukannya kepentingan nasional. Kalau inilah cara pembawaannya, saya fikir, gagasan 1Malaysia terlalu jauh untuk dicapai. Ia hanya akan diperalatkan oleh mereka bersikap musang berbulu ayam dan gunting dalam lipatan. Pada mereka kuasa bangsa mesti dipertahankan walaupun apa jua alasan dan cabaran mendatang. Persoalan saya, siapakah yang sebenar penjahat dan lebih jahat?
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
Posted by RIDHUAN TEE at 6:59 AM 153 comments
Sunday, December 20, 2009
Integrasi memerlukan pengorbanan
Mingguan Malaysia, 20 Disember 2009
Seperti yang dijangkakan persatuan-persatuan Cina yang berpengaruh termasuk MCA langsung tidak akan bersetuju dengan sebarang tindakan kerajaan untuk memperbaiki kedudukan bahasa Melayu di sekolah-sekolah Cina seperti menyeragamkan silibus Bahasa Melayu (BM) dan menambahkan masa pembelajaran BM serta cadangan untuk menambah satu lagi subjek Malaysia Negaraku dalam BM. Semua cadangan tersebut ditolak, lebih ekstrim lagi mereka mahukan subjek baru Malaysia Negaraku turut diajar dalam bahasa ibunda. Pendek kata, sebarang cadangan untuk memperkasakan BM dilihat sebagai menghakis kedudukan dan karektor Sekolah Jenis kebangsaaan Cina (SJKC). Apakah ini yang dikatakan integrasi setelah kita menolak asimilasi?
Ketua Pemuda MCA yang berjawatan Timbalan Menteri dalam bidang pendidikan begitu lantang bersuara seperti seorang jaguh kampung. Apakah beliau telah buat kajian mengenai masalah yang berlaku sebenarnya, terutama prestasi bahasa Melayu dari segi penggunaan harian dan keputusan peperiksaan di sekolah-sekolah tersebut? Sebagai seorang anggota jemaah menteri, beliau sepatutnya membuat penyelidikan lebih mendalam, yakni secara akademik untuk mengetahui apakah punca masalah sebenarnya dengan penerimaan integrasi bukan asimilasi yang terlalu dicanangkan ini? Apatah lagi beliau ada ijazah kedoktoran. Janganlah terlalu bertindak ultra kiasu seperti parti ultra tersebut! Malang sungguh Barisan Nasional (BN), sekian lama parti-parti komponen ini berada dalam kerajaan masih tidak faham aspirasi dan cita-cita negara. Saya memohon mereka datang ke sekolah saya yang majoritinya murid-murid bukan Melayu dan lihatlah keadaan mereka di sana. Buatlah kajian dan tanya kepada pengetua dan guru-gurunya. Jangan asyik menyalak sana-sini, dengan sengaja mahu menutup kelemahan. Tidak ada sesiapa yang untung, generasi kita seterusnya yang akan rugi.
Jika begini pemikiran mereka, maknanya sekolah satu sistem (SSS) hanyalah ilusi. Sentuh sedikit sahaja sekolah vernakular sudah hilang rasional, bagaimana pula hendak menyatukannya di bawah satu bumbung. Maka tidak hairanlah sekolah wawasan gagal mencapai matlamatnya. Saya yakin, selepas ini saya akan menerima lagi surat undangan untuk berdebat. Saya akan dilabelkan sebagai anti-Cina. Sedangkan saya tidak pernah menolak hak orang bukan Melayu untuk mempelajari bahasa ibunda mereka, tidak sama sekali. Saya berjanji, saya akan bersuara lantang dan mengkritik kerajaan jika ada percubaan untuk menghapuskan hak-hak bukan Melayu untuk mempelajari bahasa ibunda mereka jika ditakdirkan SSS wujud nanti. Persoalan saya, apakah SSS itu akan wujud? Jauh panggang dari api.
Sampai bilakah kita mahu melihat generasi kita berbahasa Melayu dengan baik setelah sekian lama tinggal di negara ini. Rakan saya, berbangsa Inggeris, hanya tinggal setahun di negara ini, sudah dapat menguasai BM dengan baik. Memang, galakan mempelajari bahasa lain itu amat dituntut oleh agama Islam. Malah saya amat menggalakkan umat Islam mempelajari bahasa mandarin seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri ketika merasmikan majlis makan malam sekolah menengah persendirian Cina Chong Hwa baru-baru ini. Kita selalu mendengar kata-kata “tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China”. Tetapi adakah wajar, akibat terlalu bernafsu dan ghairah mempelajari bahasa sendiri sehingga bahasa yang menjadi teras negara bangsa dan perpaduan diabaikan? Saya tidak akan bercakap dan menulis lagi jika orang bukan Melayu mempunyai asas bahasa Melayu yang kukuh sebelum ke SJKC. Malah, saya sendiri menggalakkan anak-anak saya ke SJKC kerana mereka mempunyai asas bahasa Melayu yang kukuh. Tetapi adakah perkara ini berlaku? Majoriti mereka yang belajar di SJKC tidak mempunyai asas BM kecuali mereka yang tinggal di Kelantan dan Terengganu. Bagi mereka yang tinggal di bandar, penguasaan BM amat lemah. Bukan sahaja kanak-kanak, malah yang dewasa pun sama. Saya tidak katakan semua.
Kalau tidak percaya, kita mulakan kajian terhadap ahli-ahli DAP, MCA dan Gerakan. Suruh menulis karangan dan bertutur dalam BM. Sampai bilakah kita mahu terus mendengar perbualan seperti “gua tatak mau”, “itu maciam manyak susah lo”, “lu tarak tau kah”? Siapa yang rugi nanti? Bila anak-anak kita tidak mendapat keputusan peperiksaan yang baik BM, mereka gagal mendapat biasiswa dan gagal dalam temuduga, siapakah yang akan dipersalahkan? Sudah tentu kerajaan atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dipersalahkan? JPA akan dituduh terlalu mementingkan Melayu dan bumiputera, meminggirkan bukan Melayu dan sebagainya.
Saya selalu diserang, pada mereka isu perkauman hari ini bukan disebabkan oleh dasar pendidikan vernakular tetapi disebabkan oleh UMNO yang terlalu perkauman. UMNO terus dipersalahkan oleh semua pihak termasuk mereka dalam komponen BN. Saya ingin bertanya, adakah kewujudan MCA, DAP, MIC, Makkal Sakti, PPP dan Gerakan itu tidak perkauman? PAS juga adalah parti perkauman, parti dominasi Melayu walaupun ia dibuka kepada semua orang Islam. Janganlah kerana ada seorang dua ahli jawatan kuasa dan ahli yang bukan sebangsa dijadikan alasan bahawa mereka adalah parti berbilang kaum, menyahut seruan 1Malaysia. Fakta dan sejarahnya, sejak awal lagi lagi asas-asas negara ini dibina atas dasar perkauman sehingga ke hari ini. Tidak hanya parti-parti politik yang perkauman, malahan boleh dikatakan kebanyakan persatuan atau NGO ditubuhkan atas perkauman. NGO Cina sahaja ada lebih 8000 buah di negara ini. NGO bangsa lain pun tidak kurang juga. Jika trend ini terus-menerus berlaku, bagaimanakah arah tuju negara kita pada masa akan datang?
Justeru, kita mesti cuba memperbaikinya keadaan hari ini setelah melihat semua masalah yang telah berlaku. Jangan biarkan masalah terus jadi masalah, jawapannya lagi bermasalah. Masalah harus diselesaikan dengan cara-cara dan idea-idea untuk mengatasinya. Jika tidak, kita tidak akan ke mana-mana. Wang ringgit banyak dihabiskan untuk berpolitik sesama sendiri dan menjatuhkan antara satu sama lain. Tidakkah lebih baik harta tersebut digunakan untuk lain-lain tujuan seperti pembangunan dan sebagainya?
Orang bukan Melayu cukup takut dengan akta pendidikan 1996 kerana dilihat boleh menghakis sekolah vernakular jika bahasa Melayu dikuatkuasakan. Persoalan saya, pernahkah kerajaan menggunakan atau mengimplementasikan akta tersebut sehingga kini? Tidakkah kita sedar akta ini lebih lunak, berbanding akta sebelumnya iaitu akta pelajaran 1961 yang lebih menakutkan di mana menteri pelajaran mempunyai kuasa penuh untuk menghapuskan sekolah vernakular. Akta ini juga tidak pernah dikuatkuasakan. Pernahkah kita berterima kasih dengan akta baru ini? Sudahlah tidak berterima kasih, malah mahukan akta 1996 dihapuskan terus. Bila akta ini dihapuskan bermakna bermaharajalelalah sekolah ini tanpa boleh diganggu-gugat lagi. Itulah cita-cita sebenar mereka. Terkadang-kadang saya terfikir adakah kita ini tinggal di Malaysia atau di negara lain?
Jika keadaan ini terus berjalan, seterusnya ditambah dengan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta(IPTS) yang bersifat perkauman, dipunyai oleh satu-satu kaum dan parti-parti politik perkauman, bagaimanakah pembinaan negara bangsa berasaskan identiti kebangsaaan dapat dilakukan. Saya difahamkan IPTS hari ini sudah tidak dapat dikawalkan lagi. Bahasa Melayu langsung tidak didaulatkan. Apatah lagi yang menjaganya terdiri dari kalangan menteri bukan Melayu. Saya cukup bimbang dan pasti akan berlaku suatu hari nanti, apabila ijazah IPTS-IPTS lebih laku atau lebih diterima daripada ijazah IPTA-IPTA selepas ini. Logiknya mudah, jika perkaumanlah permulaannya, maka perkaumanlah kesudahannya. Kalau itulah yang berlaku, maka berjayalah perancangan parti ultra kiasu ini dan komponen-komponen mereka. Siapakah yang rugi? Fikirkan sejenak! Tidakkah mereka sedar bahawa kerajaan hari ini telah berkorban terlalu banyak. Ratusan malah mencapai angka ribu hektar tanah telah diberikan kepada IPTS ini, tidak ketinggalan jutaan bantuan kewangan telah diberikan, atas dasar setiakawan dan semangat BN? Apakah kita pernah berterima kasih atau sebaiknya menyusun strategi untuk terus menuntut dan mendesak serta menikam dari belakang? Bila pilihan raya, parti ultra kiasulah yang terus menang.
Saya selalu ditanya dan diserang, adakah dengan tidak boleh berbahasa Melayu bermakna tidak ada semangat patriotik? Jawapan saya, ya. Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti sentiasa cinta dan berusaha untuk mengasimilasikan, mengintegrasikan dan menghormati semua dasar asas bernegara, misalnya kedudukan BM dan lagu negaraku. Ketika itu barulah jiwa menjadi kental dan kita akan berjuang bermati-matian mempertahankan negara walaupun nyawa itulah gadaiannya. Semangat ini mesti ada, jika tidak, saya bimbang kita akan lari entah ke mana atau mungkin belot dan yang paling ditakuti kita sanggup menjual kedaulatan negara kepada negara lain.
Saya memang tidak menafikan hari ini kita amat sukar menerima asimilasi. Sudah semestinya ia tidak akan berlaku lagi disebabkan oleh politik mengancam dan menuntut. Baiklah, jika integrasi itulah yang diterima, apakah integrasi itu tidak memerlukan kepada pengorbanan dan sayangnya kita kepada identiti kebangsaan seperti, bahasa kebangsaan dan menghormati lagu kebangsaan. Saya selalu ke SJKC menghantar anak saya ke sana dan selalu mendengar mereka menyanyikan lagu negaraku, kelakar sungguh bunyinya. Kalau tidak percaya cuba rakamkan lagu negaraku ketika dinyanyikan oleh murid-murid ini. Barulah kita tahu kedudukan BM yang sebenar di sekolah vernakular. Jika ditambah dengan keputusan peperiksaan BM, barulah kita tahu nasib BM di bumi Melayu.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
Posted by RIDHUAN TEE at 12:43 AM 60 comments
Sunday, December 13, 2009
Masih adakah Ketuanan Melayu?
Mingguan Malaysia, 13 Disember 2009
Ingatan demi ingatan telah saya ajukan akan bahayanya golongan ultra kiasu, tetapi kita terus memberi muka. Sedangkan mereka tidak pernah serik dan mengambil pengajaran. Sejak dahulu lagi ultra kiasu ini membangkitkan isu-isu sensitif dan menentang apa juga perkara yang menyebelahi bangsa Melayu dan Islam di bumi Melayu ini walaupun hak-hak ini dijamin dalam perlembagaan. Pada mereka, semua rakyat Malaysia mesti berpegang kepada formula sama rata dan sama rasa atau fair and square atau Malaysian Malaysia. Mereka tidak mahu langsung melihat perkara-perkara yang berkaitan dengan kelebihan Melayu Islam seperti mahukan bahasa Melayu ditukar kepada bahasa Malaysia, negara Islam kepada negara sekular, ketuanan Melayu kepada ketuanan rakyat dan sebagainya. Apakah ultra kiasu akan bersetuju dengan ketuanan Islam yang diperjuangkan oleh rakan sekutunya PAS? Mungkin PAS boleh bertanya ultra kiasu itu yang menjadi rakan baiknya.
Penggunaan istilah ketuanan Melayu tidak langsung menggambarkan hubungan antara ‘tuan’ dengan ‘hamba’ sebagaimana yang didakwa oleh kumpulan ultra kiasu. Jika orang bukan Melayu itu hamba, masakan penguasaan ekonomi bukan Melayu begitu jauh meninggalkan orang Melayu Islam. Lihat sahaja senarai 10 jutawan terkaya di negara ini. Siapakah mereka? Jika ada ketuanan Melayu sudah pasti akan ada beberapa muka-muka Melayu. Jika orang Melayu itu tuan, sudah tentu mereka akan menyekat ‘hamba-hamba’ ini untuk berjaya, tetapi adakah ia sebenarnya berlaku? Inilah bahaya bila ada sifat kiasu yang terlalu ultra? Kini mereka begitu berani mempertikaikan peruntukan atau dana-dana yang disediakan untuk pembangunan Islam oleh kerajaan termasuk pembinaan dan pembiayaan masjid, yang berkaitan dengan ketuanan Melayu dan Islam. Malah dana zakat turut mahu diambil. Saya terlalu ingin melihat apakah respon Tok Guru dan PAS terhadap kenyataan amat biadab ini.
Sebenarnya isu ketuanan Melayu dan Islam dibangkitkan semula untuk menagih simpati dan sentimen orang bukan Melayu agar tidak lupa menyokong mereka. Mereka mahu pastikan agar penyokong-penyokong parti ultra kiasu ini sentiasa berjaga-jaga dan dikejutkan agar tidak leka. Sama juga dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan Singapura yang begitu agresif dengan kempen-kempen dan ingatan kepada rakyat mereka agar sentiasa berhati-hati dengan musuh yang sebenar iaitu negara-negara di sekelilingnya seperti Malaysia dan Indonesia. Parti ultra kiasu faham benar akan taktik ini kerana mereka adalah daripada kumpulan yang sama di sana.
Dapatan kajian saya menunjukkan bahawa, golongan ultra kiasu ini memang telah berjaya menanamkan pemikiran bangsanya agar menolak ketuanan Melayu dan Islam secara total. Ketuanan Melayu sengaja diperbesar-besarkan dengan dikaitkan hubungan antara tuan dan hamba.
Sebagai pengkaji politik, saya amat yakin golongan ultra kiasu ini amat faham maksud ketuanan Melayu tersebut bukanlah seperti yang digembar-gemburkan. Saya bukanlah menyokong ketuanan Melayu, tetapi saya faham sangat akan maksud ketuanan Melayu secara tersurat dan tersirat. Saya celik sejarah dan tidak memutar-belitkannya demi mencapai cita-cita politik rakus. Saya begitu bersyukur dilahirkan di bumi bertuah ini, begitu juga dengan nenek moyang saya.
Ketuanan Melayu hanya satu istilah untuk menunjukkan bahawa orang Melayu adalah bangsa asal negara ini, selain orang asli. Atas kefahaman ini, maka saya dapat menerima istilah ini tanpa prejudis, apatah lagi untuk mempertikaikan bahawa orang Melayu juga adalah pendatang, berasal dari Yunan dan Indonesia. Inilah hujah-hujah yang selalu digunakan oleh kumpulan ultra kiasu ini, termasuk segelintir mereka yang berada dalam komponen BN seperti MCA dan Gerakan. Sebenarnya pengikut ultra kiasu ini adalah ramai, mereka tidak bersendirian. Bekas Presiden Gerakan adalah antaranya yang begitu lantang mengkritik ketuanan Melayu ini. Apakah mungkin kita tidak perasan dengan taktik mereka? Pusat mereka berada di Pulau, jangan kita lupa, cukuplah terlepas dua pulau.
Persoalan seterusnya, apakah orang Cina atau India tidak mempunyai semangat ketuanan Cina atau ketuanan India? Janganlah tipu, ia cuma tidak dilaungkan sahaja. Ketuanan mereka itu sudah jelas terpancar ketika mereka mempertahankan hak-hak mereka secara ekstrim yang telah diperolehi. Ketuanan inilah yang menyatukan mereka.
Apakah tuntutan dan desakan yang dikemukakan selama ini tidak melambangkan ketuanan bangsa? Sekurang-kurangnya orang Melayu yang melaungkan ketuanan Melayu itu berterus-terang, membuka ruang kepada pandangan dan kritikan. Berbeza dengan ultra kiasu, lantang mengkritik, tapi bekerja senyap-senyap, sedar-sedar dah jadi. Mula-mula ditutup-tutup, bila tiba-tiba dibuka, masyaAllah, besarnya patung yang didirikan. Licik sungguh strategi mereka. Umat Islam bila lagi? Takkan asyik berterus-terang. Jika kerja berjalan boleh tahan juga, tetapi cakap banyak, kerja tidak berjalan.
Lihat strategi mereka, ketuanan Melayu dipertikaikan diikuti selepas itu dengan mempersoalkan penggunaan dana kerajaan terhadap perkembangan syiar Islam seperti pembinaan masjid. Persoalan saya, apakah kerajaan negeri dan persekutuan tidak membantu pembinaan rumah ibadat bukan Islam? Jangan asyik menyatakan orang, tanpa mensyukuri toleransi yang berlaku. Inilah belang ultra kiasu yang sebenar, pepat di luar rencong di dalam.
Lihatlah bagaimana bersatunya mereka ketika pembukaan rasmi bangunan Kek Lok Si dan patung Kuan Yin yang begitu besar di negeri ultra kiasu baru-baru ini. Ini tidak termasuk pandangan di Batu Caves. Wajarkah ia dibina dalam sebuah negara Islam sehingga menenggelamkan kedudukan bangsa dan agama Islam sebagai bangsa majoriti dan agama persekutuan? Adakah kebebasan ini diberikan kepada umat Islam di negeri China dan India mahupun Switzerland? Alangkah sedihnya melihat masjid babri yang dimusnah dan diganti dengan kuil Hindu. Tidak ramai orang Islam yang membantah. Inilah sifat yang amat saya puji, walaupun dalam hati amat berat untuk menerima. Sifat sebegini jarang dapat dilihat pada orang lain. Banyak yang telah dapat, tetapi tidak pernah puas itulah ultra. Strategi mereka sekarang, tuntut semaksima mungkin, tak dapat banyak, kerajaan bagi sedikit. Sedikit itu kemenangan besar.
Kalau tidak percaya, tanyalah ketua-ketua parti komponen BN. Adakah selama ini mereka tidak dapat apa yang dituntut. Adakah rumah ibadat mereka tidak dibantu kerajaan? Jangan tanya kepada parti ultra kiasu kerana mereka tidak pernah puas selagi kuasa tidak berada di tangan mereka sepenuhnya. Mereka bercita-cita mahu menjadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri. Pernahkah kita bertanya kepada orang Melayu Islam, sakitkah hati mereka melihat patung-patung yang begitu besar dan tinggi, yang terang-terang bercanggah dengan fitrah agamanya atau setiap kali lalu di tempat-tempat tersebut? Kita tidak pernah bertanya bukan? Kita hanya marah dalam hati kerana kita mahu menjaga hati orang lain dan hak bukan Islam.
Pernahkah orang Islam melarang pembinaan patung sebesar itu dalam sebuah negara Islam yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi. Kalau adapun sedikit sangat. Apakah hak bukan Islam dinafikan walaupun ketuanan Melayu dilaungkan?
Apakah Lee Kuan Yew tidak menegakkan ketuanan Cina di Singapura? Terangkatkah ketuanan Melayu di negeri Melayu Singapura? Orang Melayu tidak mendapat tempat di sana berbanding orang India yang lebih sedikit bilangannya. Kalau dulu Yusuf Ishak boleh menjadi presiden, selepas beliau, nama Melayu sudah tidak muncul lagi. Bila orang Melayu yang mengkritik ketuanan Cina di Singapura, mereka akan dibuang jauh-jauh. Pernahkah kerajaan hari ini membuang kumpulan ultra kiasu ke luar negara walaupun ia amat lantang mengkritik orang Melayu, Islam dan raja-raja Melayu? Saya fikir orang Melayu lebih mempercayai bukan Melayu daripada bukan Melayu mempercayai Melayu.
Orang Melayu (Islam) tidak pernah campurtangan dalam urusan orang bukan Islam, tetapi kenapa dan mengatakan orang bukan Islam begitu kurang ajar mencampuri setiap perkara sesuatu yang berkaitan dengan agama Islam? Fikirkanlah isu-isu seperti pemelukan agama Islam, murtad, kedudukan mahkamah syariah, kedudukan Islam dan keistimewaannya dalam perlembagaan dan sebagainya.
Toleransi ini tidak pernah dihargai oleh kumpulan ultra kiasu ini. Tidak pernah puas dan bersyukur. Bila kita tanya toleransi tidak pernah berlaku di negara lain, kenapa tidak menghargai? Maka mereka menjawab, inilah keunikan yang perlu ditonjolkan di Malaysia. Licik juga strategik dan taktik mereka, bila kena pada kita, mereka kata inilah keunikan Malaysia dan semangat 1Malaysia, tetapi bila kena pada mereka, maka jawapannya tidak adil, bukan Melayu dipinggirkan dan didiskriminasikan dan berbagai-bagai tohmahan lagi. Selain daripada kumpulan ultra kiasu ini, mungkin kita boleh melihat pakatan jahat mereka dengan majlis peguam dan persatuan-persatuan agama-agama bukan Islam. Adalah amat tidak logik apabila melihat bilangan rumah ibadat orang bukan Islam yang hanya berjumlah 45 peratus, melebihi berkali ganda bilangan masjid dan surau di dalam sebuah negara Islam yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, yang bilangannya melebihi 55 peratus.
Puak ultra kiasu ini memang tidak pernah bersyukur. Taktik mereka menentang sekeras-kerasnya tanpa kompromi. Mereka tahu mereka tidak keseorangan. Sokongan ke atas mereka amat jitu dan padu. Kita jangan terlalu bersangka baik walaupun ia sifat yang amat mulia. Terlalu bersangka baiklah maka hari ini kepala kita bukan sahaja dipijak-pijak malahan, mereka sudah hampir sampai ke tahap untuk menguasai kita. Bayangkan jika benar-benar mereka berpakat dengan negara kecil yang begitu kuat di selatan Johor itu?
Saya mahu mengajak kita semua berfikir sebentar, apakah dengan laungan ketuanan Melayu itu, benar-benar Melayu dan Islam telah menjadi tuan? Apa yang saya tahu semakin kuat kita melaungkan ketuanan Melayu semakin banyak tanah rezab Melayu yang telah tergadai kepada bukan Melayu? Kedudukan bahasa Melayu dan agama Islam semakin terancam.
Kadangkala ternyata-tanya pada diri sendiri, apakah dengan mendapat potongan lima peratus untuk membeli sebuah rumah dan kewujudan MARA sudah cukup melambangkan itulah hak istimewa orang Melayu? Jika itulah yang melambang ketuanan Melayu, alangkah hinanya kita. Ketuanan Melayu yang sebenar adalah apa juga yang berkaitan dengan Melayu selaku bangsa majoriti termasuk bahasa, agama dan cara hidupnya akan mendominasi suasana negara ini. Tetapi adakah ini berlaku?
Lihat saya kedudukan media cetak dan media elektronik di negara kita. Adakah bahasa Melayu yang mendominasinya? Jawapan mudah, tidak. Kalau ada pun media Melayu, ia hanya dibaca atau ditonton oleh Melayu sahaja. Saya tidak fikir ada orang bukan Melayu yang akan membaca dan menonton media Melayu. Kecuali kumpulan ultra kiasu. Itupun mereka hanya berminat untuk mengorek rahsia dan membaca psikologi orang Melayu. Jika tidak, mereka tidak akan ada hati juga untuk melihat dan membacanya.
Apakah dengan laungan ketuanan Melayu kemudahan orang Cina (India) untu berniaga semakin berkurang? Sekolah Cina atau Tamil semakin berkurang? Rumah ibadat orang Cina, India semakin berkurang? Hak-hak bukan Melayu semakin dinafikan? Tulisan jawi semakin berpengaruh? Wujudkah sekolah Melayu berbanding sekolah Cina dan India? Masih adakah ketuanan Melayu? Justeru, rugikah orang Cina, India jika UMNO terus melaungkan ketuanan Melayu atau hidup Melayu atau ia sekadar mahu mengingatkan orang Melayu supaya tidak mudah lupa diri di tanah air sendiri dan mara untuk terus berjuang.
Jika nama Tanah Melayu kekal tanpa di tukar kepada Malaysia, saya tidak nampak relevannya ketuanan melayu. Seperti mana nama negeri China dan India. Mereka tidak perlu sebut ketuanan China atau ketuanan India sebab nama negara mereka sudah mencerminkan ketuanan mereka. Maka tidak hairanlah orang Islam merempat hidupnya di bumi mereka. Masjid dirampas menjadi kuil. Apakah orang Islam hidup senang lenang di negara bukan Islam berbanding orang bukan Islam hidup dalam negara Islam seperti Malaysia. Sedarkah puak-puak ultra kiasu?
Saya cukup bimbang laungan ketuanan Melayu hanya tinggal sebagai laungan sahaja seperti mana nama-nama Melayu yang semakin hilang seperti Keretapi Tanah Melayu menjadi KTM. Perancangan yang sungguh licik. Kita asyik mengalah. Bila diugut, maka kita akan tunduk kepada desakan dan tuntutan mereka. Apa yang jelas sinergi ultra kiasu semakin mantap, manakala sinergi kita semakin merosot, yang tinggal hanya laungan dan slogan yang tidak dapat dipertahankan.
Gagasan 1Malaysia tidak lagi dilihat sebagai gagasan untuk memperkasa masa hadapan tetapi untuk menuntut apa yang belum dapat dan menambah apa yang telah dapat! Sampai bilakah kita mampu terus bertahan? Apakah sinergi orang Melayu (Islam) semakin pupus di bumi Melayu? Tidakkah kita perlu kembalikan semula sinergi yang semakin hilang?
Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Tulisan ini adalah pendapat peribadi saya
Posted by RIDHUAN TEE at 8:37 AM 132 comments
Sunday, December 06, 2009
Turunkan sikap ultrakiasu sebelum berdebat
Mingguan Malaysia, 6 Disember 2009
Pada pagi 25 November 2009, saya menerima panggilan daripada ibu pejabat MCA. Panggilan tersebut disusuli dengan surat jemputan rasmi daripada Pemuda MCA mengajak saya berdebat dengan ketua mereka secara terbuka bersama Prof Khoo Kay Kim mengenai sekolah satu aliran. Selepas itu saya menerima panggilan daripada akhbar Cina mengenai respon saya berkaitan cabaran tersebut. Saya katakan kepada mereka baca respon saya dalam Mingguan Malaysia. Dulu saya boleh bersabar setelah dikutuk dan dicerca selama berminggu-minggu oleh akhbar sekutu ultra kiasu ini, kenapa kali ini akhbar tersebut tidak boleh bersabar menunggu jawapan saya. Apakah berita mengenai saya mahu diekspoitasikan lagi? Sabarlah, sebab sabar itu sebahagian daripada iman.
Alhamdulillah, masanya telah tiba. Saya amat bersyukur Kay Kim telah menerima jemputan tersebut. Biar kita berbincang secara terbuka. Kalau boleh forum atau debat ini disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen dan media elektronik di negara kita. Biar rakyat tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam usaha untuk memperkasakan sebuah negara bangsa. Pendidikan negara tidak boleh dipolitikkan. Ia terlampau suci dalam memperkasakan anak bangsa kita berbilang kaum ini. Saya ingin mencadangkan supaya forum tersebut dikendalikan dalam bahasa Melayu sebagai menyahut seruan 1Malaysia, bukannya bahasa Inggeris. Kita juga mahu melihat watak segelintir produk SJKC yang dipilih khas untuk membahaskan isu-isu ini dalam bahasa kebangsaan.
Sebelum berdebat, saya ingin berpesan kepada ketua pemuda MCA dan rakan-rakannya yang begitu ghairah supaya menyelesaikan sandiwara parti sendiri dahulu. Adakah debat ini bertujuan untuk mengalihkan perhatian terhadap masalah dalaman parti? Atau apakah mungkin masalah parti ini digunakan sebagai alasan untuk menuntut dan mendesak? Nasihat saya, jangan terikut-ikut dengan rentak parti ultra kiasu yang tidak pernah mahu mengalah. Parti ultra kiasu ini amat licik, dan pandai mengambil kesempatan. Apakah ada pakatan dalam menimbulkan isu ini?
Saya cadangkan ketua pemuda tersebut berhenti menangis disebabkan masalah dalaman parti sebelum berdebat. Saya bimbang selepas berdebat nanti menangis lagi. Jangan buang air mata kerana politik. Biarlah kita banyak menangis memikirkan kebesaran Tuhan dan bersyukur dengan nikmat yang melimpah-ruah di negara kita. Itu lebih membawa makna. Kuasa yang diperolehi pada hari ini adalah pinjaman. Ia boleh hilang bila-bila masa seperti apa yang melanda parti pemuda itu. Justeru, gunakan dengan betul, jangan terlalu mendesak sehingga terikut-ikut rentak parti ultra kiasu. Kita perlu ada pendirian, terutama dalam memperkasakan 1Malaysia.
Saranan saya lagi, sebelum berdebat, pemuda MCA kena fikirkan dan merangka strategi bagaimanakah hendak memenangi hati orang Cina pada pilihan raya akan datang agar tidak terlepas ke tangan golongan ultra kiasu. Tidakkah MCA sedar bahawa kerusi yang mereka menangi hari ini adalah kerusi yang dipertandingkan di kawasan majoriti Melayu? Jangan pura-pura buat tidak faham akan toleransi dan sokongan orang Melayu? Mungkinkah orang Melayu (Islam) akan menang jika bertanding di kawasan bukan Melayu? Sebenarnya orang Melayu amat berat untuk mengundi orang bukan Melayu jika ada calon Melayu bertanding di tempat yang sama. Kenapa mereka sanggup undi bukan Melayu (Cina dan India)? Saya minta kajilah sifat-sifat mulia ini. Jangan asyik jadi melompat apabila sekolah vernakular diusik. Fikirkanlah soal masa hadapan.
Ingatlah! orang Melayu yang memberikan kemenangan kepada MCA. Jika tidak, MCA dan Gerakan akan berputih mata. Berapa banyak lagi jawatan senator akan dilantik untuk memenuhi kuota orang Cina di negara kita ini. Jika dikira undi yang dimenangi oleh MCA apabila menentang DAP, kebanyakan undi MCA adalah undi Melayu walaupun ia kalah di tangan ultra kiasu. Siapakah yang lebih bertolak ansur dan tidak perkauman? Melayu sanggup ketepikan prinsip semata-mata kerana MCA. Beruntungnya MCA dan Gerakan, walaupun kalah, kerusi senator tetap ada.
Lebih jelas lagi, semakin parti ultra kiasu memenangi banyak kerusi, semakin banyaklah kerusi senator untuk MCA dan Gerakan. Untung sungguh ketiga-tiga parti ini. Menang atau kalah, tetap menang. Siapakah yang rugi? Orang Melayu juga yang terpaksa berkorban. Sikap berkorban ini amat baik terutama sempena hari raya korban, tetapi jangan sampai terkorban! Pihak yang satu lagi bila mahu berkorban? Takkan sekadar hadiri majlis-majis korban untuk mengatakan inilah semangat 1Malaysia. Kemudian ditampal dalam blog. Taktik ini sudah basi. Kalau tidak percaya lawati laman blog ahli parlimen ultra kiasu dan tidak kurang laman pemuda yang mahu berdebat itu.
Terbaru, beberapa pertubuhan Cina telah menyuarakan hasrat mereka mendesak kerajaan menggantikan MCA dengan mereka kerana MCA sudah tidak lagi boleh mewakili kepentingan orang Cina. Saya ingin bertanya berapa banyak lagi pertubuhan mahu diminta untuk mewakili kepentingan orang Cina. Tidakkah parti ultra kiasu, Gerakan dan NGO-NGO perkauman itu sudah mewakili? Lantang mengkritik, di dalam ada yang memujuk. Ini tidak termasuk negeri-negeri yang dimenangi oleh sekutu ultra kiasu seperti di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, tidak ketinggalan Perak sebelum ini? Apakah suara mereka tidak ada jika MCA tidak wujud? Pada hemat saya, jika tidak ada parti-parti perkauman ini hak mereka tetap terpelihara, sebab ia telah dijamin dalam perlembagaan dan juga ajaran suci Islam.
Saya yakin, Islam yang dianuti oleh orang Melayu tidak akan meminggirkan orang bukan Islam berbanding nasib orang Melayu di Singapura. Terbukti, apabila orang Islam memerintah, bukan Islam boleh hidup senang lenang. Hak mereka terjamin. Semua ini berpunca daripada toleransi ajaran Islam yang mengajar penganutnya supaya tidak melaku penganiayaan terhadap orang lain. Tetapi apabila bukan Islam memerintah, orang Islam amat tersiksa jiwa raga mereka.
Ambillah pengajaran filem kisah benar bersejarah Kingdom of Heaven yang ditayangkan di TV2 baru-baru ini mengenai hubungan antara Islam (Sallahuddin al-Ayubi) dan Kristian dalam perang salib berhubung kota Baitulmaqdis pada tahun 1188. Ketika tentera salib memerintah, umat Islam dibunuh sewenang-wenangnya. Kekejaman digambarkan sehingga darah umat Islam yang dibunuh sampai ke paras lutut. Namun, apabila tentera Islam berjaya menewaskan tentera salib, bukan Islam tidak dibunuh, malahan hak-hak mereka sentiasa dijaga. Tawanan perang tentera salib turut diberi rawatan oleh orang Islam. Inilah hebatnya ajaran Islam yang terus dipraktikkan pimpinan Islam negara kita sehingga ke hari ini. Justeru, janganlah ambil kesempatan sehingga hilang rasional dan menjadi ultra kiasu?
Dalam surat pemuda MCA kepada saya, mereka mengatakan artikel saya tulis pada 22 November telah mengundang kemarahan ibubapa, murid-murid dan alumni sekolah Cina. Persoalan saya, bilakah kajian dibuat? Takkan dalam masa 3 hari MCA telah membuat penyelidikan dan mendapat jawapan. Apakah saya silap melabelkan ultra kiasu ini pada kumpulan tertentu sahaja, sehingga terlepas pandang pada sayap pemuda ini? Saya harap pemuda MCA tidak sampai ke tahap itu. Sekian lama berada di dalam BN, takkan masih tidak faham lagi aspirasi dan cita rasa kerajaan? Jangan terikut dengan parti ultra kiasu, nanti generasi kita yang rugi.
Terus terang saya katakan, orang Melayu tidak akan rugi untuk jangka masa panjang jika peningkatan bilangan mereka semakin bertambah, manakala bilangan orang Cina terus menurun. Tak tahulah pulak jika kita tukar strategi dengan membawa masuk orang Vietnam dan China dengan cara mengahwini mereka! Mungkin Kementerian Dalam Negeri boleh siasat. Sekiranya trend peningkatan ini terus berlaku, bermakna hak Melayu akan menjadi semakin banyak. Mereka boleh ubah perlembagaan pada masa akan datang, termasuk menghapuskan sekolah vernakular. Akibatnya, siapakah yang rugi nanti? Justeru, jangan terlalu mengambil kesempatan disebabkan oleh situasi politik yang tidak banyak menyebelahi Melayu Islam pada hari ini.
Jika kita terus menerus menjadi defensif dan ultra kiasu, yang rugi nanti adalah anak cucu cicit kita. Adalah lebih baik hari ini kita lebih memahami orang Melayu daripada terlebih memahami barat. Kalau kita terus tunjukkan keras kepala akhirnya keturunan kita yang menjadi mangsa. Ketika itu kita telah menjadi nenek moyang. Kita akan dikutuk habis-habisan oleh generasi akan datang kerana terlampau ultra kiasu.
Namawee adalah contoh jelas ultra kiasu. Sudahlah kontroversi menghina lagu Negaraku masih panas, terbaru mengenai sikap ultra kiasu beliau terhadap TNB. Saya tidak menyalahkan beliau sepenuhnya. Sikap TNB juga perlu diperbetulkan. Adakah kita serius dengan bisnes kita? Talian 15454 kadangkala memang tidak dijawab, setelah dihubungi beberapa kali. Ini menyebabkan Namawee datang sendiri ke pejabat TNB disebabkan oleh masalah blackout di kawasan kediamannya. Beliau memaki-hamun TNB dengan kata-kata amat kesat dalam bahasa Cina apabila aduan beliau tidak dilayan dengan baik oleh kakitangan TNB yang ketika itu yang sedang makan pisang dan minum kopi. Spesis ini sebenarnya masih ramai. Pembawaan sikap ini ada kaitan dengan sistem pendidikan dan politik perkauman hari ini.
Biro Tata Negara tidaklah sebahaya sikap ultra kiasu. Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dengan hujah yang disampaikan BTN seperti yang dilaporkan, sebab kita ada hak untuk menerima atau menolak. Sama juga situasi kenapa parti ultra kiasu dan sekutunya boleh berkawan dengan PAS, tetapi menolak negara Islam PAS? Sikap ini lagi bahaya sebab kita menjadi duri dalam daging atau musuh dalam selimut. Berpura-pura baik di hadapan, di belakang menikam. Pada saya, kita kena fikir bahaya di depan mata iaitu ego sikap ultra kiasu, pendidikan perkauman dan politik perkauman.
Saya akan bersetuju dengan kursus anjuran pakatan ultra kiasu mengganti kursus BTN jika kursus tersebut boleh menurunkan sikap ultra kiasu yang bersarang pada diri mereka termasuk yang menjemput berdebat? Saya bimbang mereka akan terus menjadi lebih ultra. Kalau tidak percaya, cuba masukkan satu modul mengenai sistem kenegaraan Melayu, negara Islam dan hak-hak istimewa Melayu untuk dibincangkan bagi lebih memahami hasrat orang Melayu dan Islam. Lihatlah reaksi segelintir mereka dalam ketiga-tiga parti ini?
Berkali-kali telah saya sebut, tolak ansur yang ada pada masa kini perlu dihargai. Tidak cukup dengan itu, akta demi akta undang-undang telah dipinda untuk menjaga hati dan memuaskan semua pihak, sehingga hati sendiri terguris, tetapi sekumpulan ultra kiasu ini tidak pernah puas. Beri betis hendak peha. Kita perlu melakukan sedikit pengorbanan hari ini, jika tidak generasi akan datang akan terkorban. Fikirkan semua isu ini sebelum kita berdebat.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Posted by RIDHUAN TEE at 8:50 AM