Saturday, January 23, 2010

ISU - KALIMAH ALLAH - 02

“God” Kristian gunakan nama khas “Allah” :
Menyalahguna Istilah, Mengelirukan Agama
oleh Dr Mohd Sani Badron

I. Pengenalan
1. Sebahagian kita sangat naif menyangka orang-orang Kristian di sini memanggil Tuhan dengan nama Allah bagi Pencipta Yang Maha Agung, yang menurunkan hujan, yang menumbuhkan tumbuhan — lantas harus dibenar menggunakannya.
2. Hakikatnya, membenarkan orang-orang Kristian di sini menggunakan istilah Allah adalah sangat berbahaya. Belajar dari pengalaman Indonesia, mereka telah menggunakan istilah Allah secara umum, termasuk para allah dan “seluruh kepenuhan ke-Allahan secara jasmaniah”.
3. Malahan dalam penerbitan Kristian, segala berhala semuanya dinamakan allah; sedang pencipta langit pula sekadar dipanggil TUHAN — di mana istilah الله diletakkan lebih rendah daripada istilah tuhan.
II. allah dan para allah
4. “Para allah” mengalihbahasa ajaran mereka mengenai “the gods”; sementara “allah” menterjemahkan “gods”.
5. Akibatnya banyak perkara yang dipanggil allah oleh orang-orang Kristian di samping Tuhan.
6. Sama ada allah atau Allah, sebutannya sama sahaja tidak mungkin dapat dibezakan.
7. Apakah umat Islam boleh terus membiarkan kemungkinan orang-orang Kristian menggunakan istilah Allah dengan erti ramai? Mengguna dan memahami istilah allah untuk malaikat, manusia, berhala dan sebagainya? Bagaimanakah ini kononnya akan memudahkan kita menyampaikan kepada mereka akidah Islam?
8. Ayat “God presides in the heavenly council; in the assembly of the gods he gives his decision” (Psalms, 82.1) Kristian terjemahkan “Allah berdiri dalam sidang ilahi, di antara para allah Ia menghakimi”.
9. Ayat “I have said: You are gods, and all of you are children of the most High” (Psalms, 82.6) Kristian terjemahkan “Aku sendiri telah berfirman: Kamu adalah allah, dan anak-anak Yang Mahatinggi kamu sekalian”.
10. Jadi dalam fahaman orang-orang Kristian, di samping “Allah yang triniti”, ada pula ajaran “kamu sekalian adalah allah”, dan ada juga ajaran “di antara para allah” dalam terjemahan kitab suci mereka – penggunaan yang akan mengkacau-bilaukan pemikiran.
11. Ini akibatnya kalau God Kristian diterjemah sebagai Allah. Maka untuk konsisten, god menjadi allah dan the gods menjadi para allah.
III. Segala allah adalah berhala
12. Bahkan, ayat “For all the gods of the people are idols: but the LORD made the heavens” (1 Chronicles 16.26) Kristian terjemahkan “Sebab segala allah bangsa-bangsa adalah berhala, tetapi TUHANlah yang menjadikan langit.”
13. Berdasarkan ayat tadi, oleh Kristian, segala berhala semuanya dinamakan allah; pencipta langit dipanggil TUHAN — maka istilah Allah diletakkan lebih rendah daripada istilah Tuhan — nama yang khas (Allah) diletakkan lebih rendah daripada gelaran (Tuhan).
14. “TUHAN adalah Allah yang besar...mengatasi segala allah.” (Mazmur 95.3)
15. “Akulah TUHAN, Allahmu....jangan ada padamu allah lain di hadapan-Ku.” (Keluaran 20.2-3); “mereka beribadah kepada allah lain”. (Yosua 24.2)
16. “Dan rumah yang hendak kudirikan itu harus besar, sebab Allah kami lebih besar dari segala allah.” (2 Tawarikh 2.5); “Bersyukurlah kepada Allah segala allah!” (Mazmur 136.2)
17. Musyrikin Arab yang menentang Rasulullah pun tidak seteruk itu menggelarkan segala berhala allah, tidak pernah berkata kepada manusia “kamu sekalian adalah allah”, dan tidak pernah berkata “Allah berdiri di antara para allah”.
18. Kristian Arab pun tidak pernah menggunakan jamak bagi Allah.
19. Fakta yang benar-benar telah berlaku di Indonesia, dan kemungkinan boleh berlaku di Malaysia, wajib diambil kira sebelum membuat keputusan.
IV. Allah = Yesus Kristus
20. Dalam lima ayat berikut pula dinyatakan
i. “...Yesus Kristus, yaitu Allah Mahabesar dan Raja Penyelamat kita”(Titus 2:13); “Tomas berkata kepada Yesus: ‘Tuhanku dan Allahku!’” (John 20:28); “Kita hidup bersatu dengan Allah yang benar kerana kita hidup bersatu dengan Anak-Nya Yesus Kristus. Inilah Allah yang benar...” (1 John 5:20).
ii. “Yesus Kristus: pada dasarnya Ia sama dengan Allah” (Filipi 2:5-6);
iii. “Sebab dalam Dialah [iaitu dalam Kristus] berdiam secara jasmaniah seluruh kepenuhan ke-Allahan” (Collosians 2:9);
V. Bahasa Kebangsaan
21. Kononnya istilah Allah digunakan kerana ia bahasa kebangsaan; tetapi untuk istilah Yesus Kristus — di mana bahasa kebangsaannya? Begitu juga dengan nama-nama khas lain seperti Maria, Yakobus, Yohanes, Abraham dan sebagainya.
22. Jika istilah Allah hendak digunakan kerana ia bahasa kebangsaan, maka pengertian istilah “Allah” yang hendak digunakan mestilah tidak bercanggah dengan makna yang ada dalam bahasa kebangsaan (khas untuk Tuhan Yang secara mutlak Maha Esa — yang tidak wujud dalam ajaran Kristian yang Tuhannya tidak mutlak Satu, sebaliknya Tiga-bersatu/Triniti).
23. Mulai fasa pertama kedatangan Islam ke Alam Melayu (abad ke-12), istilah Allah telah diperkenalkan dengan makna yang konsisten.
24. “Allah” digunakan khas merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan Tunggal secara mutlak. “Katakanlah: Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu. Tiada Dia beranak; dan tiada Dia diperanakkan; Yang bagi-Nya tiada suatu pun tara.” (Surah al-Ikhlas : 1-4)
25. “Janganlah kamu mengatakan Trinity [dengan “Allah”]. Berhentilah (mengatakannya), agar menjadi kebaikan bagimu. Sesungguhnya Allah Tuhan Yang Maha Esa (Ilah Wahid), maha suci Allah daripada mempunyai anak. (Surah al-Nisa’ 4 : 171).
26. “Sesungguhnya telah dusta mereka yang berkata “Allah” itu al-Masih putera Maryam...sesungguhnya sesiapa yang menyengutukan “Allah” maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga...dan tiada bagi orang-orang yang zalim itu yang menolong [mempertahankannya daripada seksaan Allah]” (al-Ma’idah, 5: 72).
27. “Sesungguhnya telah dusta mereka yang mengatakan bahawa “Allah” menggenap tiga [Tuhan]....jika tidak mereka berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti datang kepada mereka yang dusta itu seksaan yang pedih” (al-Ma’idah, 5: 73).
VI. Al-Qur’an mengenai istilah Allah
28. Islam mengajar bahawa, bukan manusia atau mana-mana makhluk yang mencipta nama “Allah” itu, tetapi Allah sendiri menyatakan nama yang khas bagiNya ialah “Allah” dan mewahyukan mengenainya kepada Nabi dan para hambaNya. (Lihat KashshĀf IĆtilĀĄĀt al-FunĈn, 1: 139.)
29. Memelihara “Allah” sebagai nama khas adalah memelihara sehabis upaya kita satu daripada ajaran Islam, kerana Allah sendiri yang menjadikan istilah tersebut dan memilihnya sebagai nama khas.
30. Ini pengajaran daripada firman-Nya, “Dan Tuhanmu menjadikan apa yang dikehendakiNya dan memilih (apa yang dikehendakiNya). Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka. Maha Suci “Allah” dan Maha Tinggi Ia daripada apa yang mereka persekutukan” (al-Qasas, 28: 68).
31. Apa makna Tuhan memilih apa yang dikehendakinya dan tidak ada pilihan bagi manusia dalam ayat tadi?
I. Contoh pertama, dalam kategori manusia, Tuhan menjadikan Rasullullah sebagai lelaki pilihan, maka menghina Baginda secara langsung adalah satu kesalahan.
II. Contoh kedua, dalam kategori generasi manusia, Tuhan menjadikan generasi para Sahabat sebagai generasi pilihan, maka menghina para Sahabat adalah satu jenayah.
III. Contoh ketiga, dalam kategori undang-undang, Tuhan memilih shari‘ah yang ditanzilkan, maka menghina shari‘ah adalah satu jenayah.
32. Tergantung kepada kebijaksanaan masing-masing masyarakat, dalam sejarah Islam kesalahan-kesalahan yang disebut di atas memang pernah dikanun dan dikuatkuasakan di sisi undang-undang Negara. Ini sebahagian daripada perjuangan terhadap “mereka yang mempersenda dan mempermainkan ajaran Islam” (cf al-Ma’idah, 5: 57) dengan matlamat akhir Islam supaya mereka “merendahkan diri, tunduk dan patuh, terikat kepada ketetapan Islam yang adil” (cf. al-Tawbah, 9: 29) termasuklah mengenai pengertian “Allah”.
33. Begitulah juga, di antara nama-nama yang indah, Dia memilih kalimah “Allah” sebagai nama khasNya. Memaksakan makna lain yang bercanggah adalah satu kesalahan besar; mempersenda dan mempermainkan maknanya yang khas untuk Tuhan yang secara mutlak Maha Esa boleh menjadi jenayah.
34. Setelah selama ini istilah Allah konsisten digunakan oleh orang-orang Islam di Malaysia sebagai nama khas Tuhan, orang-orang Kristian tidak boleh kemudiannya memaksakan makna yang bercanggah iaitu sebagai nama umum dengan menggunapakai gelaran “segala berhala allah”, dan berkata kepada manusia “kamu sekalian adalah allah”, dan “Allah berdiri di antara para allah”, dan “seluruh kepenuhan ke-Allahan secara jasmaniah”, atau Allah yang bersifat Triniti.
35. Allah sebagai nama khas dalam al-Qur’an tidak diterjemah oleh orang Islam sama ada ke dalam dialek lain Arab, bahasa Farsi, Urdu, Cina, Eropah, Melayu atau sebagainya kerana tiada perkataan yang setara; mencerminkan tiada Hakikat yang setara.
36. Sebagai nama khas Tuhan Yang Maha Esa, Allah adalah istilah universal melampaui bangsa, dan bukan bahasa kebangsaan mana-mana bangsa. Sebab itu kamus-kamus yang muktabar lagi berwibawa mengenai bahasa Qur’ani memutuskan pandangan yang sahih ialah ia bukan perkataan terbitan daripada bahasa Arab. (Lihat contohnya KashshĀf IĆtilĀĄĀt al-FunĈn, 1: 139.)
37. Fakta di atas berlawanan dengan anggapan yang silap, termasuk di kalangan sebahagian orang-orang Islam yang tidak memahami fakta di atas, bahawa “Allah” adalah bahasa Arab. Sebaliknya, “Allah” ialah nama khas.
38. Sebagai contohnya Mr. Bush ialah nama khas; kita tidak mengatakan ia bahasa Inggeris maka perlu diterjemahkan ke bahasa Melayu sebagai Encik Belukar atau Encik Semak.
39. Terdapat juga anggapan yang silap oleh orang-orang Kristian bahawa perkataan “Allah” itu terbit dari bahasa Ibrani El, Elohim, Eloah. Sebaliknya, “Allah” ialah nama khas yang dipilih oleh Allah sendiri yang tidak boleh diguna oleh sesiapa sewenang-wenangnya secara umum — ini pegangan dan sensitiviti orang-orang Islam.
40. Dalam penggunaan yang betul, dalam kamus-kamus standard, nama khas “Allah” adalah eksklusif bagi Tuhan Yang mutlak Maha Esa dan tidak boleh disalahgunakan untuk Triniti (Tiga-bersatu) misalnya; apatah lagi dengan membuka ruang kepada gelaran “segala berhala allah”, dan berkata kepada manusia “kamu sekalian adalah allah”, dan “Allah berdiri di antara para allah”, dan “seluruh kepenuhan ke-Allahan secara jasmaniah”.
VII. Masalah dimulakan Penjajah yang menyebarkan Kristian
41. Masalah bermula dari zaman kolonial. Penjajah yang menyebarkan ajaran Kristian menyalah-gunakan istilah tersebut secara kabur di Alam Melayu.
42. Bermula dengan terjemahan Matius yang dicetak di Belanda dalam tahun 1629 oleh seorang Protestan, Albert Ruyl, Kristian mula menyeludupkan makna “Allah” yang bertentangan dengan penggunaan mantap 500 tahun sebelumnya di Alam Melayu sebagai nama yang khas milik Tuhan Yang secara mutlak Maha Esa. Niat para penterjemah ternyata jelas “bagi tujuan penginjilan [penyebaran Kristian] dalam bahasa bukan Eropah”.
43. Di Malaysia keputusan mengekalkan nama Allah khabarnya diputuskan oleh Ketua-Ketua Gereja 25 tahun yang lalu dalam mesyuarat pada tahun 1985 (tajaan Pertubuhan Alkitab Malaysia), iaitu sebelum Alkitab versi pertama Melayu dikeluarkan dalam tahun 1987.


44. Apakah kita akan menuju kekeliruan seperti di Indonesia di mana ada orang Kristian yang menulis: “Allah cemburu kepada allah-allah yang bukan Allah. Tuhan tidak mau anak-anakNya mengikuti allah-allah yang bukan Allah. Zaman ini ada beragam allah yang menguasai manusia, seperti: populariti, harta dunia, jawatan, ilmu pengetahuan, ideologi, dan sebagainya.”
45. Kenapa warisan penjajah yang tidak betul perlu diteruskan? Mentaliti terjajah perlu ditinggalkan, kerana sebagai rakyat Malaysia kita sudah merdeka. Cara-berfikir kita pun perlu bebas dari kacau-bilau peninggalan penjajah, dan kita boleh sama-sama berikhtiyar merancang masa hadapan yang lebih jelas tanpa kekeliruan.
46. Terjemahan Bible versi Melayu (the Bible Society of Malaysia: 2001) mengubah alihbahasa god, contohnya
I. Allah berdiri dalam sidang ilahi —› Allah mengetuai sidang di syurga
II. di antara para allah —› di hadapan makhluk-makhluk syurga
III. segala allah bangsa-bangsa adalah berhala —› dewa-dewa bangsa lain hanya patung berhala
tetapi tetap ingin menggunakan Allah untuk menterjemah Tuhan atau Ilah Kristian Triniti, Tiga-bersatu.
VIII. Allah Yang Tidak Tunggal dan Allah Yang Tidak Mutlak Esa ?
47. Kegusaran masyarakat Islam seterusnya adalah Kristian akan menimbulkan kekeliruan dengan menggunakan istilah Allah Yang Tidak Tunggal dan Allah Yang Tidak Esa; Allah yang sama sepakai kepada Bapa, Putera dan Ruhul Qudus.
48. Kristian tidak mengatakan secara langsung Allah memiliki sekutu; tetapi Kristian mengatakan Allah itu sendiri dibahagikan kepada, atau terdiri daripada, tiga perkara qadim, iaitu Bapa, Putera dan Ruhul Qudus sebagai persekutuan atau kesatuan Godhead yang dialihbahasa Indonesia sebagai ke-Allahan.
49. Penggunaan istilah yang memberi erti Tunggal dan Esa adalah pantang-larang besar dalam agama Kristian. St Hilary (m. 367) mengatakan bahawa orang Kristian perlu mengelakkan istilah God the “singular” (Yang Tunggal), kerana ia berlawanan dengan “konsep” Tuhan Kristian Yang zat-Nya, walaupun satu, namun ia adalah umum bagi tiga hypostasis yang berbeza, iaitu Bapa, Putera dan Ruhul Qudus.
50. Pada pandangan St Thomas Aquinas, orang Kristian perlu mengelakkan istilah the only God (Yang Esa) kerana kata-sifat “only” (Latin unici) berlawanan dengan konsep berbilangnya hypostasis Tuhan. Menurut St Thomas Aquinas “We do not say ‘the only God,’ for Deity is common to many”, iaitu tiga perkara qadim tadi; Bapa, Anak dan Ruhul Qudus.
51. Jadi God atau Tuhan atau ilĀh merupakan nama am dan ia bebas digunakan dan diterjemah serta ia merupakan nama gelaran (title) dan nama terbitan (derivative). Contoh penggunaannya ialah Tuhan Bapa; Tuhan Anak; Tuhan Ruhul Qudus.
IX.Membenarkan Salah-Guna Istilah sebagai Hak Kebebasan Beragama?
52. Pada hakikatnya, tiada siapa pun yang berhak mensalah-gunakan istilah bahasa, apatah lagi kalimah Allah. Sebarang alihbahasa yang merosakkan aturan perkataan (sintaksis) dan melanggar nahu akan membawa pengertian yang salah dan mengelirukan.
53. Sekiranya “Belief in God”, iaitu salah satu Rukun Negara diterjemah sebagai “Kepercayaan kepada Allah” tentulah kacau masyarakat majmuk kita yang mempunyai pelbagai ragam kepercayaan. Kalau “church” atau “temple” boleh dipanggil sebagai “baytAllah” atau “masjid” tentulah kalut masyarakat yang berbilang rumah peribadatan ini. Kalau “priest” pula boleh digelar sewenang-wenangnya sebagai “imam”, maka kita risau dan rakyat akan kacau yang mana satu topekong yang mana satu mufti.
X. Orang Kristian Sedunia Mengakui Kekeliruan
54. Sebenarnya orang Kristian sendiri pun tidak bersatu dan berpecah-belah dalam perkara ini, sama ada di Eropah, di negara Arab ataupun di Indonesia.
55. Walaupun penjajah Belanda memulakan salah-guna istilah Allah di alam Melayu, satu kaji-selidik masyarakat Kristian Belanda di pertengahan 2007 mendapati 92% daripada lebih 4,000 responden tidak bersetuju menggunakan “Allah” sebagai nama Tuhan (God) Kristian.
56. Ada responden yang menjawab, kalau God orang Kristian boleh dipanggil Allah, maka Gereja pun boleh dipanggil Masjid; sedangkan tiap-tiap satunya ada identiti dan makna tersendiri. Seorang paderi Katolik di Rom, Father Jonathan Morris, menegaskan bahawa ia perlu ditolak kerana ini adalah isu teologi dan bukan isu toleransi. Pertubuhan terbesar Katolik Belanda membantah cadangan tersebut dan menyatakan bahawa hanya orang-orang Katolik yang bengong sahaja yang akan melakukan perbuatan yang dianggap cuba mengampu agama lain ini.
57. Apabila Dr Labib Mikhail, seorang ahli polemik Kristian Arab sendiri ditanya, “is Allah of the Muslims the God of Christians?” Beliau menjawab : I would say it can’t be that way…If we compare between the God of the Christians, and Allah of the Muslims and of the Qur’an, we will see a lot of differences…in the attributes…in the commandment…in the plan of salvation…the godhead.”
58. Di Indonesia, ramai orang Kristian sendiri mengakui bahawa meminjam istilah Allah untuk terjemahan God, dan memaksakan memberinya makna baru yang berbeda dari nama khas, adalah kekacauan bahasa yang sangat-sangat membingungkan. Rujuk, contohnya, tulisan-tulisan seorang Kristian Indonesia, Petrus Wijayanto “Allah hanya milik Islam”; “Nama Allah yang diperdebatkan”; “Siapa yang Anda Sembah” dan sebagainya.
59. Dalam sepuluh tahun terakhir ini juga Indonesia rancak dengan gerakan kelompok Kristian yang ingin menggunakan nama Yahweh dan bukan Allah, hingga menerbitkan empat versi lain terjemahan Bible. Khabarnya terdapat sekitar 200 Gereja dan sangat ramai tokoh Kristian di Indonesia yang tidak mau lagi menggunakan istilah Allah kerana berasa keliru.
60. Kanak-kanak pun tahu dalam peraturan bahasa adalah satu kesalahan untuk menggunakan rangkai-kata “para allah”, “segala allah”, “sekalian allah”, “ke-Allahan secara jasmaniah” atau mengeja Allah dengan “a” huruf kecil seperti “allah”. Melainkan orang-orang dewasa kita lebih keliru dan mau generasi yang akan datang turut keliru!
61. Pada hemat saya, pandangan yang pernah diberikan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri bahawa “hanya orang Islam boleh gunakan istilah Allah. Ia adalah istilah orang Islam. Ia adalah perkataan Arab,” adalah kurang tepat kerana ia akan ditafsir Muslim yang majoriti menindas Kristian dalam konteks politik perkauman. Lebih tepat jika dikatakan “Allah ialah nama khas milik Tuhan Yang secara mutlak Maha Esa. Ia tidak boleh digunakan untuk ramai atau banyak perkara. Ia menafikan Triniti. Ia daripada al-Qur’an.” Pernyataan ini berlandaskan ilmu dan makna.
XI. Cadangan
62. Pertama: Matlamat dan Hala-tuju yang tepat bagi umat Islam adalah, seharusnya penggunaan nama Allah dikhaskan hanya untuk Tuhan Yang secara mutlak Maha Esa.
63. Kedua: Penggunaan istilah Allah yang betul perlu dipupuk melalui pendidikan, dialog, peraturan bahasa, dan sebagainya lagi, tanpa sebarang unsur keganasan.
64. Ketiga: Penggunaan istilah Allah/allah yang mengelirukan dan mengubah maknanya perlu dihindari dan dilarang.
65. Keempat: Dalam keadaan puak Kristian telah membuat cabaran melalui saluran mahkamah dan perlembagaan, undang-undang yang secara jelas melarang penggunaan “Allah” yang umum kepada ramai atau kepada banyak perkara atau kepada fahaman trinitarian, selain kepada Tuhan Yang Mutlak Maha Esa perlulah diwarta atau dikanunkan, sekiranya masih belum cukup jelas.
66. Kelima: Sebagai balasan kepada keputusan Ketua-Ketua Gereja mengekalkan nama Allah dalam penerbitan Kristian, Majlis Raja-Raja, Yang Di-Pertuan Agong, Parlimen dan/atau semua Dewan Undangan Negeri perlu memanfaatkan kuasa agar golongan yang beragama Kristian patuh kepada Undang-Undang yang melarang, demi ketertiban Negara.
67. Keenam: Mengambil-kira masalah ini turut melibatkan warisan penjajah, sebelum undang-undang berkenaan keseksaan dikuatkuasakan terhadap mereka, golongan Kristian Malaysia (semua yang terlibat sahaja) boleh diberi tempoh yang munasabah, untuk secara secepat yang boleh tetapi beransur-ansur tidak lagi menggunakan istilah ini dalam sebarang urusan dan penerbitan.
68. Ketujuh: Warga Kristian Malaysia perlu berubah menggunakan istilah lain yang lebih sesuai dengan sensitiviti antara-agama, seperti Ilah, atau Ilahi atau sebagainya.

Rujukan (terpilih)

1. Al-Qur’an al-Karim.

2. Tafsir al-Baydawi, terj. ‘Abd al-Ra’uf Singkel.

2. RaÍmah min al-RaÍmÉn fÊ TafsÊr wa IshÉrÉt al-Qur’Én, peny. MaÍmËd MaÍmËd al-GhurÉb, 4 vols. (Damascus: MaÏba‘ah NaÌr, 1410/1989), 1: 21.

3. Al-KhalÊl b. AÍmad al-FarÉhidÊ (d. 175 A.H.), TartÊb KitÉb al-‘Ayn, eds. MahdÊ al-MakhzËmÊ and IbrÉhÊm al-SamarÉ’Ê, rev. As‘ad al-Ùayyib (n.p.: IntishÉrÉt Aswah, 1414), 1: 98.

4. MurtaÌÉ al-ZabÊdÊ (d. 1205/1790), TÉj al-‘ArËs min JawÉhir al-QÉmËs, 10 vols., repr. of Cairo 1306-07 ed. (Beirut: DÉr ØÉdir, c. 1980), 9: 375. Ed. baru 40 vols. ed. ÖÉÍÊ ‘Abd al-BÉqÊ, rev. ‘Abd al-LaÏÊf MuÍammad al-KhaÏÊb (Kuwait: al-Majlis al-WaÏanÊ li ’l-ThaqÉfah wa ’l-FunËn wa ’l-ÓdÉb, 2001/1422), 36: 321-322.

5. Al-Tahanawi, KashshÉf IÎÏilÉÍÉt al-FunËn, dengan catatan penjelasan AÍmad ×asan Basaj, 4 vols. (Beirut: DÉr al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1418/1998), 1: 138-139.

6. Al-FayrËzÉbÉdÊ, al-QÉmËs al-MuÍÊÏ, 2 vols. (Beirut: DÉr IÍyÉ’ al-TurÉth al-‘ArabÊ, 1997), 2: 1631.

7. Saint Thomas Aquinas, The Summa Theologica. I Q31 Art. 2.

8. Alkitab Terjemahan Baru, 1974. Cetakan ke-65 2006.

9. Alkitab Berita Baik, 2001.

10. Daud Soesilo, “Terjemahan Alkitab Melayu dan Indonesia: Dulu dan Sekarang”.